Pesanan Penaja

Thursday 29 July 2010

GADAI HAK BUMIPUTRA KERANA KEUNTUNGAN WANG

Kesan ketidakseimbangan ekonomi

Salam,
Begitulah orang materialistik. Diskaun untuk Bumiputra didengki khianatkan hanya kerana ianya tidak menguntungkan. Tony Pua seorang penasihat ekonomi yang 'handal' sehingga semuanya dilihat dari segi untung rugi mata wang.

Nanti pada suatu masa hadapan agaknya, semua peruntukan hak bumiputra yang dilindung oleh perlembagaan juga dimansuhkan kerana ianya dikatakan tidak menguntungkan. Senang sahaja jika kita hendak mengira untung. Jika kos berbanding jualan menghasilkan nilai positif maka untunglah operasi kita itu maka jika tidak ianya 'perlu dihapuskan' Cukup senang dan keputusan sebegini tidak memerlukan orang yang berkelulusan tinggi atau penasihat ekonomi untuk mencetuskannya. Apa yang tidak difikirkannya ialah natijah dari tindakan sedemikian. Jika kekayaan hasil keuntungan akibat merampas hak orang dilakukan dengan sewenang-wenangnya maka tidak mustahil ada gerakan yang akan 'menghancurkan' kekayaan kotor sedemikian. Itulah yang pernah berlaku pada 1969. Mungkin orang tidak minat untuk mengingatinya! Sama ada mengingati atau tidak, maka sedarlah bahawa tendensi berkenaan adalah merupakan formula sejagat yang biasa berlaku secara fitrah di seluruh pelusuk dunia! Sebab itulah Islam menganjur aktiviti zakat fitrah bagi melaras kekayaan agar sikaya mempunyai tanggung-jawab sosial dan bukannya semakin "memijak" orang susah.

Seseorang yang sentiasa melihat kehidupan secara materialistik dan menterjemahkannya dengan operasi perniagaan semata-mata akan hilang hati dan akal budi. Mereka bersifat terlampau kalkulatif atau terlalu mengira dan amat bimbang jika rugi. Adakah orang-orang begini boleh menjadi pemimpin yang gemar membantu orang miskin melarat, orang tertindas atau orang yang aniaya dan dizalimi? Jika sifat materialistik begitu menebal dan dijadikan pedoman hidup maka janganlah harap sangat kepada mereka ini.

Ada cerita jenaka mengenai sikedekut yang selalu berkira-kira untung-rugi sehingga dia hampir tidak mahu berkain kafan ketika ia menjadi jenazah nanti,  kerana takut kerugian!  Sungguh berbeza pandangan bersifat bakhil seperti di atas jika dibanding dengan perspektif orang yang memandang bahawa kehidupan di dunia kita ini hanya sementara. Apa yang harus dikira-kirakan (itu pun jika hendak mengira) ialah pahala yang dibawa keakhirat nanti dan bukannya hanya duit melimpah ruah hanya untuk di dunia ini!   

Walalhualam
Sysalq

Tuesday 27 July 2010

PENGHAPUSAN DISKAUN HARTANAH MELAYU: APAKAH ORANG MELAYU TIDAK SEDAR AGENDA MEREKA?

 Tony Pua Penasihat Ekonomi SU Agung DAP

Salam,
Belum pun sempat kepanasan isu-isu hak-hak Melayu yang cukup menyakitkan hati kita itu reda, Tony Pua Penasihat Ekonomi DAP pula mahukan diskaun hartanah bumiputra dihapuskan! Jika Bumiputra khususnya Orang Melayu tidak sedar apakah maknanya cadangan ini (atau terus buat "make don't know" maka bakal gelaplah masa depan mereka).

Bila mereka memegang tampuk pemerintahan, mereka memula agenda penghapusan hak-hak Orang Melayu secara perlahan-lahan dan satu-demi-satu. Mula-mula, mereka mempertikai tentang Azan di Masjid (Hairan - PAS tetap menyokong mereka) selepas itu mempertikai kenapa kerajaan memberi peruntukan yang lebih untuk membina Masjid. Mereka secara istiqamah mempertikai dan cuba menghapuskan hak-hak yang telah diperuntukkan oleh kerajaan dan  dilindungi oleh perlembagaan. Komplen mereka tentang hak-hak bumiputra dan Orang Melayu hampir meliputi semua bidang bermula dari Dasar Ekonomi Baru sehingga kepada peruntukan biasiswa dan sampai kepada Perdana Menteri dan Timbalan sehingga tentang Kewujudan Raja-Raja Melayu di Malaysia ini.

Dalam hal diskaun hartanah bumiputra, mereka seolah-olah mahukan semua hartanah yang berharga RM500,000 dihapuskan diskaunnya. Ini bermakna kaum bumiputra kerugian 7% (+RM35,000) apabila membeli hartanah berkenaan. Tony menuduh bahawa dasar berkenaan bersifat tidak adil dan memberi peluang kepada orang tengah mengaut keuntungan. Apa yang tidak adilnya? Keputusan memberikan diskaun adalah dibuat secara konsensus yang mengambil kira kepentingan bumiputra. Begitulah sekiranya jika kita bumiputra memberi peluang kepada mereka memegang tampuk pemerintahan. Bayangkan Jika mereka dapat kemenangan besar di dalam Pilihanraya akan datang kerana "Orang Melayu terus bersifat Alpa?"  Apa akan jadi dengan hak-hak Melayu dan Bumiputra?

Menurut Tony lagi, tindakan memberi tanah kepada 80 anak syarikat kerajaan negeri yang kebanyakannya menjalankan aktiviti berkaitan hartanah, adalah tidak ekonomik memandangkan dan tidak membantu perkembangan pembangunan hartanah. Menyentuh tentang operasi anak-anak syarikat kerajaan negeri bermakna Penasihat Eknomi kepada Setiausaha Agung DAP itu dengan secara sepintas lalu mempertikai peluang-peluang yang biasanya ditawarkan oleh anak syarikat kerajaan negeri kepada Kaum Melayu dan Bumiputra!

Apa lagi yang belum dipertikaikan mengenai hak Melayu dan Bumiputra oleh Pembangkang ini? Kita semua amat faham mengapa akhir-akhir ini Datuk Ibrahim Ali sering menunjukkan kemarahannya kepada orang yang menimbulkan hal-hal serupa ini. UMNO juga jangan mendiam diri jika ada orang terus mempertikai tentang hak-hak kita. Jika kita semua diam..maka mereka akan menjadi lebih berani dengan mempertikaikan semua perkara berkaitan dengan diri kita ini.

Walau bagaimana pun, bisingnya Tony Pua mengenai hak-hak Orang Melayu akan memberi isyarat kepada Orang Cina yang menunjukkan bahawa DAP masih tetap relevan kepada mereka! Mereka (DAP) juga yang mendapat "polittical mileage" walau pun kadang-kadang ianya hanya retorik semata-mata. Mereka amat tahu, jika mereka terus menerus cuba melaksana dasar yang bersifat 'merampas' hak-hak Orang Melayu mereka akan "berentap" dengan kalangan tegar dalam memperjuangkan hak-hak berkenaan.    

Friday 23 July 2010

VETERAN PAS MENOLAK KESATUAN MELAYU DI BAWAH PAYUNG ISLAM

Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda Pas)

Salam,
Sedang penulis memandu pada jam 5.30 petang Jumaat 23 Julai 2010, Radio Ikim memancarkan satu siaran yang amat bermakna bagi umat Islam dan Melayu khususnya. Ustaz Dr Zamri bin Zainal Abidin, penerbit dan pengacara rancangan yang diberi nama Ad-Daurah tersebut, telah mengajukan beberapa persoalan kepada Mursyid Dr Zulkifli Mohd Al Bakri dalam isu yang berkaitan dengan perpaduan Muslimin dan Muslimat di Malaysia dengan merujuk kepada. Ayat 103 Surah Ali Imran.

Dapat penulis catatkan di sini isikandungan maksud ayat berkenaan:

"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.  Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada mu agar kamu mendapat petunjuk" (Ali Imran 103)

Mursyid Dr Zulkifli dengan nada ikhlas membawa pendengar menghayati bagaimana Rasulullah mendamaikan puak-puak dalam kalangan bangsa arab yang berbeza-beza. Pelbagai kabilah disatukan atas nama umpamanya Kaum Ansar (asalnya 2 kabilah yang tidak berapa sehaluan) dan Kaum Muhajirin yang mendatang juga terdiri dari beberapa puak yang disatukan dibawah satu nama. Semua usaha berkenaan melibatkan keikhlasan yang cukup mendalam yang mementingkan Al Wehdah (kesatuan) di bawah panji Islam mengatasi segalanya. Bukan sahaja kesatuan di kalangan Arab malah meliputi perjanjian di antara Kaum Yahudi dengan umat Islam disatukan di bawah satu perjanjian yang meliputi peranan masing-masing demi kemakmuran.

Menurut Dr Zulkifli lagi, (sebagai menjawab respons dari pendengar - mengapa Umat Islam berpecah setelah menang dalam peperangan seperti di Afganistan?) biasanya manusia bersatu ketika mereka lemah. Apabila sudah kuat maka masing-masing mempunyai haluan masing-masing yang berkaitan dengan nafsu sehingga mengetepikan kehendak Agama.  Natijahnya ialah perpecahan yang akan memberi kesempatan kepada musuh Islam yang akan memporakperandakan umat Islam yang berpecah itu.

Seorang pendengar bertanya adakah mereka yang mengekalkan perpecahan itu "tidak takut kepada Allah?" dan "apakah yang hendak dijawab diakhirat kelak?" Kekuatan bentuk soalan yang hampir sama juga telah diajukan oleh Rasulullah ketika umatnya pada masa itu menunjukkan tanda-tanda perpecahan. Baginda bertanya "Adakah kamu akan berpecah ketika Rasulullah masih disamping kamu?" Peringatan tersebut memberi kesan mendalam dihati umatnya dan mereka serta merta sedar di atas kesilapan masing-masing.

Ketika Utusan Malaysia menyiarkan sedutan tulisan Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda Pas) mengenai perpaduan diantara UMNO-PAS melalui blognya (http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/07/perpaduan-melayu-pas-tidak-perlu.html) hati penulis berdetik bahawa inilah ketika agaknya suatu era baru ke arah perpaduan UMNO-PAS. Beliau menukilkan frasa yang amat menarik berkaitan dengan "Kesatuan Ummah" yang berbunyi:

"5. UMNO hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita . Saya sarankan agar kita [ PAS ] tidak perlu menolak tawaran itu . Terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan , tetapi kita WAJIB letak syarat iaitu Islam . Kerana tanpa Islam , tawaran perpaduan itu sia - sia lantaran ia tidak mungkin dapat dibina dengan baik dan kukuh . Masih segar dalam ingatan saya malah selalu terngiang - ngiang di telinga saya , apabila al Mursyidul Aam PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan segala kerendahan dirinya berkata : "Kalau UMNO terima Islam, PAS ni tak ada pun tak apa !"

Namun selang beberapa ketika selepas itu maka para veteran PAS memperjelaskan kepada umum bahawa mereka tetap dengan pendirian lama bersama PR dan mustahil untuk bekerjasama dengan UMNO. Salah satu sebabnya ialah seruan kesatuan ummah ini adalah 'permainan politik UMNO'. Nampaknya Timbalan Naib Presiden PAS yang secara secepat kilat 'menyelamatkan keadaan' status quo PAS sambil menunjukkan bahawa kalangan veteran dengan para pemuda mereka mempunyai pandangan yang agak berbeza. Mereka mendakwa oleh kerana UMNO memperjuangkan Nasionalisma dan PAS 'memperjuangkan dasar Islam' maka ianya tidak sehaluan. Mereka tidak pula menyatakan bahawa DAP dan PKR memperjuangkan Islam.

Itulah salah satu contoh 'fatwa' yang boleh diambil kira sebagai kekhilafan fatwa (orang  yang mendakwa ulama) yang membawa perpecahan dan dikategorikan oleh jumhur ulama bahawa kekhilafan sebegini adalah bersifat Mazmu (buruk dan keji)  seperti yang dinyatakan oleh Al Fadhil Mursyid Dr Zulkifli dalam rancangan radio yang sangat berkesan itu. Mereka lupa bahawa kalangan yang mereka musuhi itu adalah tersiri dari orang yang juga mengucap "dua kalimah syahadah" seperti mereka.

Apakah seruan pemimpin UMNO melalui YAB Tan Sri Mahyuddin tempoh hari berkaitan dengan kesatuan ummah ini? Pemimpin No 2 negara itu meminta kalangan yang terlibat memandang dari aspek Keagamaan mengatasi perspektif politik. YAB Tan Sri jelasnya meminta semua pihak bersatu dibawah payung Islam dengan mengetepikan unsur-unsur politik! Bukankah beliau telah membacakan ayat 103 Surah Ali Imran? Adakah kalangan veteran PAS masih terus berpolitik setelah semua orang berseru ke arah persatuan? Ke mana Al-Quran dicampakkan oleh mereka?       

Monday 12 July 2010

KEMUNCULAN BARISAN MUDA DALAM PENTAS POLITIK


Peningkatan dalam "Meter Populariti"

Sejak akhir-akhir ini, semua parti samada dalam BN atau Pembangkang cuba mengetengahkan barisan kepimpinan pemuda mereka. Pelbagai isu yang telah ditimbulkan bagi membolehkan para pemimpin muda ini berinteraksi secara agak menonjol.

Isu biasiswa JPA dan MARA yang melibatkan polemik di antara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)  melalui Datuk Ibrahim Ali dengan Ketua Pemuda dari Barisan Nasional dan telah menaikkan meter populariti Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai Ketua Pemuda MCA dan Khairy Jamaludin (Ketua Pemuda UMNO)

Manakala dalam kes “Tahan Datuk Ibrahim dan Nasir Safar dengan menggunakan ISA” telah sedikir sebanyak mempopularkan Vell Paari (VP) selaku Ketua Pemuda MCA.  Sebelum itu VP telah secara konsisten mengkritik UMNO yang dikatakan beliau sebagai “Pemandu Bas” dan MIC terpaksa mengikut saja ke mana saja arah bas (BN) yang dipandu oleh orang-orang UMNO. Ada seruan-seruan melalui Facebook beliau yang mahukan MIC mengambil tindakan drastik untuk berhenti  menjadi penumpang dalam BN. Persoalannya ialah mampukah MIC menjadi sekurang-kurangnya “co driver” dalam keadaan yang bergolak itu?

Parti PAS juga telah mula mempamirkan pemimpin pelapis mereka melalui gerakan perundingan dengan Pemuda UMNO.  Kelihatan ada suatu tanda bahawa kepimpinan muda PAS menjurus ke arah permuafakan yang lebih efektif  atas dasar sesama Islam. Kepimpinan muda ini lebih terbuka dan mementingkan musyawarah berbanding dengan kepimpinan veteran mereka yang amat berhati-hati dan kerap memandang dari segi “perspektif politik” apabila diajak berunding.  Menurut penulis hakikat sebenarnya ialah ahli PAS dan UMNO wajib bersatu dan ianya merupakan tuntutan agama tidak mengira golongan muda atau ‘orang lama’.

Jika Negara Islam hendak ditegakkan, perkara wajib yang paling asas ialah Umat Islam wajib bersatu. Pertentangan pendapat dalam hal-hal furu’ hendaklah diselesaikan dengan cara musyawarah.             

MIC: Keluar Perhimpunan Tanda Protes



Dua figura MIC yang bertentangan

Hari kedua Perhimpunan Agung MIC menampakkan keadaan bahawa lebih 43% perwakilan MIC mula enggan menyokong kepimpinan mereka sendiri. Jika mereka benar-benar masih setia kepada Datuk Seri S. Samy Vellu (DSSV) maka mereka akan terus duduk menyertai perhimpunan tahunan yang penting itu. Apa yang berlaku ialah perkara sebaliknya.  Nampaknya, mereka terus mempertikai hal persaraan presiden mereka sendiri.  Apabila seorang wartawan membangkitkan isu persaraan DSSV maka beliau menjawabnya dengan nada agak marah yang mahukan isu berkenaan di ’senyap’ kan kerana menurut beliau ada banayak kerja yang mereka perlu fokuskan.

Penulis beranggapan bahawa para perwakilan yang “keluar awal” ialah merupakan perwakilan yang menyokong atau sekurang-kurangnya bersimpati dengan GAS yang dilihat telah dapat memperluaskan pengaruhnya yang mungkin menggugat kestabilan bukan saja DSSV malah MIC itu sendiri. Jika kecenderungan ini berterusan maka MIC bakal menjadi kongres yang terpinggir dan diasingkan oleh ahli-ahli mereka sendiri.

Kekuatan Central Work Committee  (CWC) seperti yang telah digambarkan oleh oleh penulis dalam posting terdahulu bakal menyebabkan barisan pentadbiran MIC bakal diboikot oleh ahli mereka sendiri. Kemanakah ahli-ahli yang bersimpati dengan GAS ini pergi?  Ada 3 pilihan alternatif yang terbuka kepada GAS dan penyokongnya. Pertamanya kekal dalam MIC dan “berentap” dengan CWC. Keduanya mendaftar diri sebagai ahli Makal Sakti dan pilihan ketiga ialah menubuhkan parti baru bagi orang-orang India.

Pilihan pertama akan membuatkan MIC muncul dengan imej dan barisan kepimpinan baru. Pilihan kedua dan ketiga akan menyebabkan MIC kehilangan taring di dalam lanskap politik dinegara ini. Jika MIC terus bergolak akibat krisis kehilangan kepercayaan ke atas kepimpinan mereka maka bermakna kaum India terpaksa mencari alternatif lain sebagai wadah perjuangan mereka.

Important Messages