Pesanan Penaja

Friday 25 September 2009

TEKA TEKI POLITIK ORANG MELAYU PALING MENARIK DEKAD INI...


Salam,

Sudah menjadi 'lumrah' pelbagai pihak meramalkan kemuraman dunia politik Orang Melayu dengan cara membayangkan kehancuran samada UMNO atau PAS. Orang yang bersifat pro UMNO membayangkan seharusnya PAS lah wajib dibubar untuk membolehkan ahlinya menyeberang kepada UMNO atau ada pula yang berpendapat sebaliknya. Idea umumnya ialah kemusnahan geopolitik Orang Melayu

Pada suatu senario lain, kumpulan yang mewakili etnik India di Malaysia dikatakan bakal berpecah menjadi 10 serpihan yang mungkin kemudiannya membentuk kumpulan atau parti serpihan masing-masing. Jika mereka merujuk untuk menjadi komponen BN maka mereka sudah tentu menuntut kerusi khusus melalui kuota tertentu. Sila rujuk kes PPP yang berjaya mendapat sejumlah kerusi di dalam PRU lepas dan sebelumnya. Merujuk kepada kes lebih awal PAS yang merupakan serpihan UMNO setelah melalui pelbagai rentetan pengalaman berjaya mendapat peruntukan kerusi yang dimenangi di dalam PRU sebelumnya.

Jika salah satu kumpulan yang mewakili etnik India ini kalah maka mereka boleh berpindah kepada wadah lain di dalam Kumpulan 10 ini.Mereka akan tetap menang dalam pilihan raya jika BN dapat populariti semula. Mereka boleh terus memperjuangkan isu yang berkaitan dengan masyarakat India di Malaysia. Mereka boleh mendesak melalui pelbagai media dan isu. Jelasnya mereka kelihatan sahaja 'bergaduh' tetapi gaduhnya ibarat orang bergurau dengan "main pukul-pukul bantal". Tiada yang bengkak atau luka...apa yang penting ialah isu dapat diselesaikan melalui tuntutan kolektif.

Etnik Cina bagaimana? Mereka lagi cekap. Sehingga sekarang mereka telah berjaya membentuk 'serpihan' yang akhirnya menjadi kuat-kuat belaka. Kekuatan mereka tidak dapat disangkal lagi sehingga dapat menguasai Pemerintah samada melalui BN atau melalui Pembangkang. Mereka benar-benar berjaya.Jika seseorang ahli politik itu ingin beralih angin maka mereka boleh pindah mana-mana wadah yang mereka mahu. Sentiasa ada tempat untuk mereka. Malah baru-baru ini salah seorang orang kuat mereka dikatakan ingin membentuk parti baru. Kalau betul parti baru dibentuk dan ianya merujuk balik kepada BN maka peruntukan kerusi terpaksa diberi kepada serpihan berkenaan. Begitulah kehebatan mereka.

Orang Melayu merasa selesa di Malaysia sehingga mereka tidak menjaga adab. Apabila berpolitik maruah dan kerahsiaan orang merupakan kekuatan bagi lawan. Tumbang menumbang semasa pilihan pelbagai peringkat adalah lumrah. Mereka terus menganggap bahawa Orang Melayu masih terus bakal menjadi TUAN di Malaysia ini oleh itu keselesaan itu membuatkan mereka tidak peduli dengan apa yang akan berlaku ke atas generasi Melayu akan datang. Mereka berpecah 4 iaitu UMNO, PAS, Sedikit dalam Keadilan dan Sedikit dalam kumpulan pimpinan Datuk Ibrahim Ali. Semuanya mempunyai haluan yang berbeza. PAS mengkafirkan penyokong UMNO dan UMNO tidak sebulu dengan PAS. Lebih teruk lagi ialah apabila PAS memperlekehkan perjuangan khusus untuk orang Melayu persis seperti perjuangan UMNO. KEADILAN dan PAS juga bukan parti yang orang Melayu boleh harap kerana ianya ialah media perjuangan untuk menaikkan seseorang melalui agendanya yang tersendiri. PAS "berpatah arang" sehingga sanggup bersengongkol dengan 'musuh Islam' . Adakah kumpulan di atas bergaduh "main pukul bantal?" Penulis tidak nampak fenomena itu. Mereka saling meruntuhkan. Mungkin cuma Datuk Ibrahim Ali kelihatan benar-benar membantu memperjuangkan kesatuan ummah melalui beberapa insiden yang boleh kita rakam.

Kalaulah UMNO runtuh...seperti kata Tun Dr Mahathir (akibat kehilangan integriti) kemana pergi ahli-ahli UMNO nanti? Dimana tempat Orang Melayu ini hendak berpaut? Atau katakan pula PAS runtuh sama sekali..ke mana perginya ahli-ahli PAS? ke mana pula mereka akan pergi dan apa jadi dengan kerusi Melayu yang telah di menangi? Cuba kita fikir...Jika PAS atau UMNO tumbang..Apa akan jadi pada Melayu? Jangan terperanjat sekiranya BN diterajui oleh "orang lain" Bukankah itu bakal menjadi lain dari tradisi? Bukankah itu peristiwa itu akan menghiris dan menyayat hari Orang Melayu? Adakah Orang Melayu boleh menerima keadaan seperti ini? Lihat saja sejarah di mana UMNO dihina dan dikalahkan pada PRU 1969! Apa yang telah berlaku? Ketidakstabilan tercetus!

Pemimpin tertinggi mungkin dapat menelah perkara begini jika berlaku. Pilihanraya ke 13 bakal memperlihatkan kesannya. Teka teki merbahaya ini jika menjadi benar akan menggugat keamanan negara kecuali Gagasan 1 Malaysia Perdana Menteri kita dapat menampan ledakan kemarahan Orang Melayu. Kekalahan PAS dan UMNO biasa dilihat sebelum ini namun ianya adalah merupakan kes yang terpisah-pisah. Namun jika fenomena demikian melibatkan kedua-duanya dan berlaku secara serentak maka ianya sudah tentu akan menyebabkan Orang Melayu ibarat layang-layang yang putus talinya!

Pada pandangan penulis Gagasan 1 Malaysia adalah merupakan suatu penampan berkesan terhadap sindrom perselisihan etnik tetapi malangnya kini ahli politik berasaskan "kaum bukan Melayu" selalu menggunakan konsep ini untuk membuat pelbagai tuntutan. Maksud sebenar dari gagasan ini sengaja tidak mahu benar-benar difahami. Penulis bimbang jika mereka "menyalahtafsirkan" idea yang ikhlas ini serta menggunakan tafsiran itu ketika memenangi pilihan raya akan datang untuk membentuk satu barisan kepimpinan Bukan Melayu yang memerintah bagi menjayakan "tuntutan-tuntutan". Hak Orang Melayu pula yang akan tergugat (Rujuk Datuk Ibrahim Ali - Youtube pada Sidebar). Kita sentiasa ingat dan memerhati, pelbagai dakwaan dari sesetengah mereka yang mahukan lebih dari apa yang mereka ada dengan menyangka bahawa Orang Melayu telah mendominasi kerajaan Malaysia ini.

Penulis ingin mecabar pembaca dan Politikus dan Profesional Melayu untuk menjawab persoalan "Ke mana Melayu jika dua komponen wadah perjuangan ini terkubur?" Adakah mereka akan membaiah kita lagi?

Anta Fikirlah Sendiri!

sysalq

Kita tiada parti lain lagi Tun...

Salam Tun,


Sedutan dari Youtube

Beza antara UMNO Ori dengan UMNO sekarang ialah popularitinya melangkaui populariti calon. Letaklah siapa-siapa, gerenti menang! Begitu hebatnya UMNO pada ketika itu. Sekarang kenapa timbul persoalan kualiti calon mengatasi parti itu sendiri? Mesti ada yang tidak kena.

Rasanya tentu Tun ingat ketika zaman Tun memerintah, media tidak sebebas sekarang dan internet tidak berleluasa seperti sekarang. Blogger seperti Tun sendiri memberi pengaruh kepada populariti UMNO. Bukan sahaja Malaysia Kini, malah Harakah, Keadilan dan DAP melalui media elektronik masing-masing setiap hari menghentam UMNO. Tun boleh kira berapa kali perkataan bermaksud seperti "UMNO akan kalah" yang telah disebut dan ditulis oleh Tun sendiri. Tun sendiri mengakui bahawa segala komen Tun akan menyebabkan UMNO menghadapi masalah dalam pilihan raya. Sebelum pilihan raya ke 12, Tun di pihak mana? Semua orang tahu Tun berada di seberang sana! Tun turut sama menghentam pemerintah yang terdiri dari orang UMNO! Adakah itu tidak menyumbang kepada permasalahan populariti UMNO?

Saya berpendapat Tun tidak sayangkan UMNO yang Tun sendiri bina. UMNO Baru ini dicetuskan oleh Tun sendiri. Dulu, pada waktu UMNO Ori sedang berkuasa mungkin Tun disindir oleh sosek-sosek ahli UMNO sendiri bahawa Tun dikatakan sebagai bukan Melayu tulin dan tidak sesuai memegang tampuk jawatan presiden. Apabila UMNO Baru ditubuhkan oleh Tun, tiada siapa mempertikai tentang ketulenan keturunan sesiapa kerana Tun yang 'memulihkannya' Ramai yang percaya bahawa Tun akan memelihara integriti UMNO sedaya upaya kerana Tun yang menjadi panglimanya.

Tun memang hebat, ketika UMNO Ori diharamkan Tun dapat mempengaruhi khalayak yang tinggal pada masa itu untuk masih mempercayai Tun sebagai Perdana Menteri. Di sini, jika dikenang-kenangkan bahawa BN yang telah bersama kita sejak sekian lama tetap setia kepada Tun secara peribadi bukan kepada UMNO...kerana UMNO telah diharamkan.

Tun, ini Tanah Melayu kita. Tiada tempat lain kita nak pergi. Tun telah berjaya menaikkan imej Malaysia kemerata dunia. Pada setiap ketika semasa Tun memerintah tiada siapa yang menggugat Tun kerana kehebatan Tun..malah sekuat-kuat Timbalan-timbalan Tun semuanya tidak dapat mengatasi Tun sendiri. Ibarat pisau dijari Tun dan UMNO sekarang ini menjadi mentimun yang dengan mudah dikerat dan dipotong. Saya percaya perkataan dari Tun amat memberi impak. Ianya seolah-olah akan menjadi impian atau igauan kepada banyak khalayak. UMNO sekarang ini Tun yang memulakannya! Tun peliharalah dengan baik. Jadilah penasihat yang memberi semangat kental sepanjang masa bukan hanya dipenghujung proses. Kita tiada parti lain lagi Tun...khusus untuk orang Melayu. Bantulah kita semua.

Jasa-jasa Tun tiada siapa yang dapat menyanggah. Tun adalah idola saya, namun demikian berilah peluang saya dan kami semua untuk terus menyanjung Tun sebagai pembela nasib orang berketurunan Melayu yang dahagakan kejayaan. Berilah nasihat-nasihat yang penuh bersemangat. Saya percaya jika Tun beristiqamah di dalam perkara ini maka UMNO dan BN akan lebih mudah untuk memenangi kembali imej yang telah dipancarkan semenjak zaman kegemilangannya.

Begitulah harapan saya Tun. Semoga Tun terus sihat untuk menjayakan misi ini. Wassalam

Sunday 13 September 2009

DR MAHATHIR SILAP - UMNO DAN BN TIDAK AKAN LINGKUP MACAM LDP!


Salam,
Adakah BN atau UMNO akan lingkup seperti LDP di Jepun? Jawabnya tidak, kerana UMNO telah terbubar lebih awal dari tarikh kejatuhan LDP. Rakyat mengetahuinya bahwa UMNO telah tiba-tiba hilang dari kewujudan akibat percakaran pemimpin yang tidak sedar mereka sedang menjahanamkan UMNO. Mereka berebut kuasa bertelingkah mengenai undi sehingga Mahkamah mengisytiharkan UMNO sebagai parti haram! Yang ada sekarang ini ialah UMNO Baru yang perkataan Baru dikelabukan dan kemudiannya hilang. Maka semua orang 'menyangka' UMNO 'lama' masih wujud! Tun Dr Mahathir (DM) dan YM Tengku Razali amat mengetahui ceritanya!

Memang benar, seruan supaya para pemimpin UMNO dan BN mengelakkan pertelingkahan kerana kepentingan perjawatan dan kedudukan tetapi soalnya adakah pada zaman dimana UMNO diharamkan itu tiada fenomena sedemikian? Bukankah malapetaka yang memalukan itu berlaku akibat ego kepimpinan pada masa itu? Bukankah pada waktu itu Dr Mahathir berdiri seorang diri atas kapasiti peribadi sebagai Perdana Menteri yang dibaiah oleh parti bukan Melayu. Bayangkan kalau parti bukan Melayu tidak setia pada masa itu? Apa akan jadi.. jika DYMM Yang Di Pertuan Agung pada masa itu mempersoalkan kredibiliti Perdana Menteri pada ketika itu dan menerima perlantikan PM baru?

Mungkin Datuk Musa lebih faham mengapa beliau menyatakan bahawa "Duri dalam daging sudah keluar" ketika Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO baru-baru ini? Mungkin DM menganggap UMNO cuma wadah untuk berpolitik. Ibarat bahasa sebagai cuma wadah untuk berkomunikasi dan bukannya melambangkan budaya! Jadi apalah sangat yang pentingnya pada "wadah". Tidak kiralah ianya PAS ke UMNO..main pukul boleh saja! Paling anih sekali ialah dah berapa kali DM keluar UMNO? Kempen demi kempen dari luar UMNO oleh DM sendiri memperli dan mempertikai kepimpinan UMNO terus dijaja sebelum Pilihan Raya yang lepas. Apabila ditanya adakah UMNO akan terjejas akibat kempen beliau? Tanpa rasa bersalah beliau menjawab "Ya". Sungguh menyedihkan.

Jadi kita tidak hairan perkataan sayangkan UMNO berlegar dibibir sesiapa pun sekiranya tidak dibuktikan dengan amalan. Orang yang setia kepada parti tidak akan keluar masuk parti dan tidak menyerang kepimpinannya dan terus menyatakan bahawa "UMNO akan jatuh" sejak zaman mantan Perdana Menteri lagi. Sungguh menyedihkan.

Sekarang penulis bertanya siapa sebenarnya yang menjatuhkan UMNO?

Important Messages