Pesanan Penaja

Monday 21 June 2010

PERTANDINGAN BUKAN UNTUK BERPECAH BELAH

 Bolehkah kita bersikap lebih demokratik tanpa melibatkan sebarang Kem?


Salam,
Sistem demokrasi yang diamalkan dimerata dunia memperkenalkan mekanisme membuang undi bagi memilih perwakilan dan juga ketua. Roh kepada pengundian itu ialah untuk memberi peluang kepada pemimpin yang dipilih oleh ramai pengundi muncul sebagai pemimpin sejati yang layak memimpin tanpa mengira terdapat pengaruh terhadap pengundian dengan pelbagai cara. Apa yang dapat dibuat oleh jawatankuasa pemilihan yang mengawal perjalanan proses pengundian ialah meminimakan kecacatan kertas undian dan mengelakkan undian akibat pengaruh wang ringgit.

Apa yang menyedihkan ialah gelagat manusia yang hendak dipilih dan juga kumpulan penyokong masing-masing. Mereka membentuk kem-kem atau team. Team untuk berkumpulan dan bermesyuarat.  Jika ramai yang bertanding maka banyaklah team atau kem berkenaan.  Mengikut sejarah, gejala inilah yang meruntuhkan parti termasuk UMNO. Kalau kita masih ingat, pada masa kewujudan Team A dan Team B di dalam UMNO perpecahan mula berlaku sehingga meranapkan UMNO Ori. Penulis juga masih ingat bagaimana kumpulan, team atau kem yang dibentuk pada ketika bergabung melawan Allahyarham Allahyarham YABhg Tun Ghafar Baba yang tidak mempunyai sebarang kem. Akibat kekalahan undian tersebut maka Allahyarham merasa tidak dihargai dan pergi membawa diri menjauhi parti.  Impak dari gabungan ini juga menyebabkan undian untuk Dato' Seri Mohd Najib yang juga bertanding untuk jawatan dalam Majlis Tertinggi menjadi berkurangan walau pun bilangan pencalonannya begitu memberangsangkan.

Kita lihat pula apa yang telah terjadi kepada MCA dan MIC dengan pelbagai kem yang dibentuk dan berentap di dalam parti masing-masing. Setiap pemimpin membawa penyokong tegar yang tidak lagi bersifat demokratik. Pemilihan pucuk pimpinan tidak lagi didasarkan kepada kehebatan individu pemimpin itu sendiri.

Dewasa kini kita dapat mendengar dan melihat pelbagai tanda bahawa akan ada pertembungan seperti mana yang telah diceritakan di atas. Sebagai contohnya pertarungan diantara Ketua Pemuda UMNO dengan "Calon Favorite" yang telah mengisytihar diri untuk bertanding. Kelihatan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan pembentukkan kem-kem yang akan memberi impak buruk kepada perpaduan parti. Tidak kiralah bagaimana seseorang calon itu menyatakan kesediaannya untuk bertanding, namun pembentukan kem ini akan memberi kesan yang agak lama untuk kembali bertaut. Perkara yang merugikan ialah setiap orang akan 'diperiksa atau dibaca'  sokongan mereka kepada siapa. Jika terdapat tanda-tanda bahawa orang ini pro sianu-sianu maka biasanya team yang bertentangan akan membuat suatu bentuk 'sanction' yang tidak kelihatan bagi mengelakkan 'kempen negatif ' meresap masuk kedalam kumpulan mereka. Amalan ini melibatkan pelbagai aspek termasuklah posting-posting dalam Facebook atau Blog. Akhirnya semua orang tidak lagi bersikap demokratik dan sentiasa dicurigai.  Kita tidak mahu yang menang mendapat separuh walhal kedua-duanya mempunyai peranan untuk dikongsi bagi membantu Orang Melayu.

Jika pengundi dan pemimpin benar-benar menjadi demokratik tanpa mewujudkan keadaan berpecah belah maka keadaan itu adalah baik dan matang. Kita amat sedih jika berlaku sebaliknya. Apakah kesalahan besar ini perlu diulang seribu kali sehingga meranapkan gagasan kita? Atau kita kena ada satu peraturan yang amat ketat? Ingat, pembangkang sentiasa menunggu peluang untuk "ngap!"        

Sunday 20 June 2010

BARISAN NASIONAL: PERKARA YANG WAJIB DILAKUKAN TETAPI TIDAK DILAKUKAN



Salam,

Agaknya apa yang menyebabkan pakatan pembangkang begitu menonjol dalam Pilihanraya Umum Ke 12 pada 2008 yang lalu? Isu yang mereka bawa adalah isu lapok yang terus diperjuangkan malah barisan kepimpinan mereka pula terdiri dari orang-orang lama yang telah menunjukkan kelemahan demi kelemahan sepanjang perkhidmatan mereka. Ada pula komponen mereka yang telah kehilangan visi kerana ingin menambat hati bukan Islam. Perjuangan mewujudkan Negara Islam telah dikesampingkan kerana politik. Istilah "Negara Islam" telah menjadi "Negara Orang Islam". Pakatan menjadi lebih sumbang apabila parti yang kerap mempertikai kedudukan Orang Melayu dan Bumiputra dan Agama Islam boleh "bertepok-bertampar" dengan parti yang "kononnya memperjuangkan Islam" hanya kerana hendak merebut kerusi. Ada juga parti yang tersalah pilih pemimpin yang tidak habis dibicarakan di atas masalah moral yang tidak pernah dihadapi oleh mana-mana pemimpin Malaysia sebelum ini! Atas sesalan yang tidak terhingga maka ramai yang berhijrah keluar dari parti berkenaan. Jadi, semua mereka menunggu masa untuk tumbang tidak lama lagi.

Berbalik kepada persoalan mengapa mereka begitu menonjol dalam pilihanraya lepas? Jawabnya ialah mereka sentiasa "berceramah!" dan sentiasa mengindoktrinasi bukan sahaja para pengikut mereka tetapi seluruh rakyat Malaysia. Ceramah mereka dirakam dimuatnaik ke Youtube. Sesiapa saja boleh menontonnya jika terlepas pandang sebelum ini. Mereka jelasnya telah menggunakan kemahiran bertutur dan kemahiran dalam media dan penerbitan serta kepakaran ICT secara menyeluruh. Mereka bukan berceramah kepada ahli-ahli parti sahaja, tetapi mereka berceramah kepada "semua orang sepanjang masa" dalam "sebarang kesempatan". Mereka sentiasa mengambil kesempatan pada hari-hari kebesaran seperti Maulidurasul atau mengambil kesempatan mengadakan aktiviti di sesetengah mesjid tidak lupa jika ada isu-isu untuk menghentam BN mereka jiga akan menganjurkan sesi ceramah.

Kita bertanya kepada Barisan Nasional (BN), adakah mereka juga melakukan perkara yang sama? Jawabnya tidak! BN bukan bercermaah, tetapi "berucap" dalam majlis rasmi untuk ahli-ahli sahaja. Sesi ucapan pemimpin BN hanya keluar sekerat-sekerat di kaca TV dan ini tidak memberi makna apa-apa sekadara menyampai berita sahaja.  Adakah ucapan ini sampai ke dunia digital? Jawabnya tidak. Jika ada orang-orang BN berceramah mengenai kelebihan BN dan mengkritik pembangkang ialah ketika kempen pilihanraya. Ketika itu masanya sudah agak terlewat. Kempen ke rumah-rumah memang baik dijalankan, lawatan ke rumah kebajikan dan hospital juga berkesan tetapi aktiviti ceramah yang berwibawa perlu ada! Jika tidak, tiada siapa yang akan membetulkan perspektif mereka tentang BN kerana tidak pernah mendengar sendiri dari 'mulut BN'. Oleh itu mereka akan mempercayai apa saja tuduhan pembangkang.

Tidak kira masa,  sesiapa dan di mana jua di dunia ini, jika pembangkang hendak menjatuhkan kerajaan maka tuduhan paling selesa sekali ialah tuduhan amalan rasuah, amalan kronisma dan nepotisma. Coraknya hampir sama. Tuduhan ini amat berkesan dalam banyak keadaan kerana pembangkang tidak perlu membuktikannya dan tiada bangkangan dari kerajaan.  Jika tidak mahu menjadi mangsa, maka BN perlu menafikan dengan sekeras-kerasnya sambil mempamirkan kelemahan dan ketempangan pembangkang terus kepada audien setempat. Kita tidak perlu ada satu "program besar" ke seluruh negara baru hendak mula berceramah kepada orang ramai. Ceramah boleh disampaikan secara runcit mengikut lokaliti. Unit Penerangan atau kader-kader dakwah parti komponen mestilah terlatih, efektif dan hebat. Audiennya bukan hanya kakitangan awam dan kanak-kanak sekolah yang dijemput secara rasmi, atau ahli-ahli parti, tetapi lebih ditujukan kepada orang ramai rakyat marhain yang dahagakan informasi!

Wahai para pemimpin BN, berhenti bertelagah dan berpolitik dalam parti sendiri dan demi kepenting BN keluarlah pergi berceramah kepada orang ramai!

BN? UMNO dan Komponen lain? Anda berani melakukannya?

Wallahualam

Saturday 19 June 2010

PM DOLAK-DALIH: DAKWAAN EDITOR SUARA KEADILAN MELESET DAN BERUNSUR POLITIK


Salam,

Editor Suara Keadilan telah menulis satu artikel yang berjudul: Sikap Najib Mengikis Kepercayaan Antarabangsa   yang pada anggapan penulis lebih kepada berniat untuk mendapat "political mileage" dari pada mengemukakan fakta sebenar. Artikel berkenaan juga lebih kepada menjatuhkan maruah Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia (PM) yang sedang memimpin negara ini di bawah Kerajaan Barisan Nasional yang direstui oleh DYMM Yang Di Pertuan Agung. Editor berkenaan harus sedar bahawa rakyat Malaysia  dewasakini bukannya terdiri dari mereka yang mempercayai retorik politik kosong seperti itu tetapi mereka lebih suka melihat bukti nyata keberkesanan Kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah selama 53 tahun dan membawa kepada era kemajuan seperti sekarang ini. Bayangkan, sebagai contoh paling mudah dan nyata, Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Pembangkang, gagal membina walau sebuah mesjid pun untuk umat Islam bersembahyang sepanjang mereka memerintah di sana! Apa yang mereka buat di Kelantan? Pandai pula mereka hendak menilai PM kita, hanya melihat sambil lewa beberapa bulan beliau memerintah. Benarlah seperti kata PM kita sebelum ini, pembangkang tidak akan dapat melawan kehebatan Malaysia.

Benarkah PM mengamalkan sikap berdolak-dalih? Lihat contoh pilihanraya di Hulu Selangor. Pihak MIC 
melalui Datuk Samy Velu mahukan calon asal dan veteran dari MIC menjadi ADUN di situ. Tapi apa yang berlaku ialah Datuk Samy Velu akhirnya akur dengan kehendak pimpinan tertinggi BN yang mahukan pandangan akar umbi diambil kira dengan semangat "1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" maka calon lokal yang lebih muda diketengahkan. Adakah itu namanya berdolak-dalih?

Contoh ketara kedua dimana semangat 1Malaysia menjadi keutamaan ialah apabila pemimpin tertinggi berkenaan menerima pencalonan Tan Sri Mohd Isa Samad dalam keadaan yang penuh kontroversi namun semua tindakan pasukan beliau menepati dan mempunyai hasil pulangan yang dibanggakan.

Dalam soal Model Ekonomi Baru (MEB), sekali lagi semangat 1Malaysia memainkan peranan penting. MEB diformulasi oleh sekumpulan pakar yang memikirkan perencanaan mengikut perspektif profesional mereka, namun PM perlu juga menambah satu komponen lagi iaitu suara akar umbi apatah lagi ianya datang dari Orang Melayu sendiri. Kumpulan NGO seperti PERKASA amat memainkan peranan penting untuk menjadi penampan dalam membuat keputusan. PERKASA memperjuangkan keadilan bagi Orang Melayu agar ianya berada pada trek yang munasabah dan adil. Jika kumpulan profesional memberi cadangan dan cadangan itu dibaca orang di dada akhbar dan kemudiannya PERKASA dibenarkan memberi maklum balas adakah itu merupakan dolak-dalih PM? Adakah salah bagi PERKASA ragu-ragu terhadap satu rancangan ekonomi yang membabitkan rakyat seluruh negara dimana perkataan Bumiputra hanya disebut beberapa kali sahaja? Bukankah 1Malaysia menekankan perpaduan di Malaysia tanpa mengetepikan kepentingan Orang Melayu dan Bumiputra? Semenjak 13 Mei 1969 dan selama ini, prinsip ini telah dijayakan tanpa halangan.

Soal penarikan subsidi telah lama diketengahkan oleh mantan-mantan PM. YABhg Tun Mahathir menempelak orang Melayu agar jangan suka mengharap bantuan dan sokongan kerajaan (Tongkat) semata-mata. Secara perlahan subsidi cuba dikurangkan. Semasa pemerintahan YABhg Tun Abdullah juga, mekanisma pemeberian subsidi diperhalusi namun secara kebetulan pula berlaku krisis kenaikan harga minyak yang menyebabkan penurunan subsidi bagi mengimbangi kenaikan mendadak tersebut. Dalam mana-mana kes kenaikan harga barangan, pembangkang akan sentiasa memainkan peranan "jahat" bagi memfitnah Kerajaan Malaysia. Sekali lagi benarlah kata PM, bahawa pembangkang sudah kehabisan modal dan mereka memang tidak boleh melawan Malaysia.

Jika pembangkang menabur pelbagai janji semasa pilihanraya 2008 dan gagal melaksanakannya, jika PAS umpamanya menjanjikan hudud dan pemerintahan Islam dan akhirnya entah ke mana, adakah itu bukan berdolak-dalih? Kita boleh baca dan tonton di pelbagai media tentang janji kosong pembangkang ini. Mereka sentiasa berdolak-dalih.

Berkenaan Malaysia dikatakan akan bankrap tidak lama lagi, pelbagai kiraan dan ramalan diutarakan oleh pakar termasuk dari Datuk Seri Idris Jala yang mewakili suatu jawatankuasa khas. Namun pandangan pihak lain, tetap diambil kira termasuk yang datangnya dari akar umbi yang tidak kurang pengetahuan dan pengalaman. YAB Dato' Seri Najib adalah merupakan salah seorang pemimpin yang membuka ruang atau medan perbincangan seluas-luasnya. Semua program, atau tindakan yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan secara berhati-hati dan  bukannya hendak menjadi jagoan dengan menunjukkan sifat autokratik dalam membuat keputusan.

Penulis berpendapat, bahawa sejak kebelakangan ini, pakatan pembangkang telah menjadi "tidak keruan". Saban masa, ada saja orang-orang mereka yang menyesal dan berpaling tadah. Saban hari ada saja pendedahan tidak enak yang disebut oleh bekas penyokong mereka sendiri tentang pimpinan tertinggi mereka. Parti komponen mereka sudah  tidak mempunyai visi yang jelas cuma menunggu masa untuk rebah. Kebanyakan dari parti komponennya pula masih dipimpin oleh "orang-orang lama" yang telah membuat pelbagai kesilapan besar sepanjang mereka berpolitik. Mereka adalah pembangkang yang tidak membina tetapi lebih "terliur" untuk menumbangkan Kerajaan Malaysia dan merebut kerusi. Maka sekali lagi, benarlah seperti kata PM kita mereka tidak akan dapat melawan Malaysia!

Monday 7 June 2010

MASYARAKAT INDIA VS MIC, MASYARAKAT ANTARABANGSA VS PBB


 
NGO's mepunyai masa depan cerah sebagai Jurucakap Masyarakat Antarabangsa

Salam,

MIC VS MASYARAKAT INDIA:
Ketika ahli MIC mahukan perubahan pada pucuk pimpinan, presiden dan CWC mereka mahukan status quo dikekalkan. Natijah dari itu maka wujud kumpulan ahli MIC yang memberontak dan seterusnya bukan sahaja mereka dipecat dari jawatan malah dinafikan keahliannya dalam parti itu. Mantan setiausaha MIC telah memulakan usaha mendapatkan 500,000 ahli yang sehaluan dengan kumpulan mereka untuk membuat suatu tindakan drastik. Apakah bentuk tindakannya? Adakah dengan mencadangkan undian "hilang kepercayaan kepada presiden?" Atau keluar dari MIC dan menubuhkan sebuah wadah politik baru?

Jika bilangan Pro GAS (Gerakan Anti Samy) bertambah ramai maka suara mereka akan lebih kuat. Ianya tidak mustahil boleh berlaku kerana sistem hubungan dewasakini begitu canggih sehingga sampai kepada setiap individu yang prihatin kepada isu tertentu. Tindakan ini persis menubuhkan sebuah NGO yang prihatin terhadap isu yang diperjuangkan. Suara mereka sudah tentu akan didengar kesetiap pelusuk dan memberi impak terhadap isu yang diutarakan.

NGO'S:
Dunia global merangkaikan seluruh pelusuk dunia, malah seluruh manusia yang prihatin. Dunia dilihat 'tanpa sempadan' bukan sahaja dalam urusan ekonomi. Ketika kerajaan dunia memenfaatkan perkembangan ICT maka masyarakat di sekeliling kerajaan mendapat menfaat untuk berkongsi bukan sahaja maklumat malah berkongsi perasaan, kebenaran dan perjuangan. Non Governmental Organizations (NGO's) merupakan penimbal kepada gerakan rasmi kerajaan dunia termasuk Malaysia.

ICT ALAT PENYATUAN:
Dewasakini maklumat boleh sampai kepada setiap individu yang prihatin. Komputer dan telefon bimbit menjadi lebih canggih sehingga menjadi alat hubungan yang penuh bermakna. Fenomena kehebatan para Bloggers memberi impak yang sangat hebat malah menjadi lebih dominan dari media rasmi kerajaan. Presiden Amerika mengambil iktibar dari keberkesanan teknologi canggih ini dan menggunakannya sebagai alat kempen untuk memenangi pilihanraya presiden. Mesej yang disampaikan beliau menyelinap kesetiap individu dan sampai kerumah-rumah tanpa halangan. Apa saja polisi yang hendak diperkenalkan  boleh disampaikan dengan begitu pantas dan mudah. Natijah dari itu NGO's tumbuh seperti cendawan selepas hujan untuk memperjuangkan isu yang sebelum ini telah dipopularkan oleh media alternatif ini.

NGO'S SEBAGAI PENAMPAN KERAJAAN DAN PBB
YABhg Tun Dr Mahathir amat memahami perkembangan ini mendahului kita semua. Beliau menganggap ICT sebagai alat yang sangat berkesan dalam mempertingkatkan mutu dan keberkesanan perjuangan ke arah kebenaran. Beliau mendahului masa dan massa dalam pembangunan Koridor Raya Malaysia (MSC). Sejak dari itu Malaysia selalu terkehadapan dalam kebanyakan bidang. Persidangan yang memperjuangkan hak dan keadilan kerap diadakan di Kuala Lumpur khususnya di Putrajaya.

Persaraan membolehkan YABhg Tun  aktif di dalam Yayasan Perdana dan kemudian menubuhkan pula Perdana4Peace yang menjadi tunggak kepada kebangkitan NGO's bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia bagi memperjuangkan keadilan dan keamanan yang pada ketika ini memfokuskannya kepada pembebasan GAZA dari sekatan Israel. Menggunakan kecanggihan ICT dan keberkesanan Bloggers maka YABhg Tun secara konsisten (istiqamah) melihat apa yang harus diperjuangkan jika "ketidakadilan" terus berlaku di mana-mana pelusuk dunia. Menurut website gerakan yang dipelopori oleh YABhg Tun Mahathir Mohamad dan Dato’ Mukhriz Mahathir sebagai Penasihat ini:            

“Peace for us simply means the absence of war. We must never be deflected from this simple objective.”


"The Perdana Global Peace Organization, a first but resolute step in the arduous journey towards global peace, moves towards the single goal of putting an end to war. Its founder, Tun Dr. Mahathir Mohamad, envisages “a serious, active and sustained struggle against war and for peace”. Sharing and supporting this agenda are world-prominent professionals, intellectuals, authors, statesmen – all passionate advocates of international peace. Together, they have signed the Kuala Lumpur Initiative that defines the Kuala Lumpur Initiative to Criminalise War."

Perjuangan ini memberikan impak yang amat hebat terhadap kekejaman Israel yang gagal ditangani oleh Bangsa Bangsa Bersatu kerana wujudnya kuasa veto oleh "kuasa nuklear" atau 'kuasa besar'  yang selalu menghalang dunia dari mengambil tindakan terhadap kekejaman yang telah dilakukan. Sepatutnya kita tidak hairan dengan sikap PBB ini memandangkan bahawa bangunan PBB yang terletak di Amerika itu sendiri didirikan oleh keluarga Rockefeller yang mempunyai kepentingan yang cukup kuat di Amerika malah seluruh dunia. Apa yang lebih mencurigakan ialah keluarga ini berketurunan Yahudi yang menguasai sistem kewangan dunia dan mempunyai misi dan visi untuk menguasai dunia melalui negara-negara tertentu.

Oleh itu PBB sebenarnya tidak boleh diharap sangat. Mereka terpaksa 'menutup mata' terhadap kes-kes yang melibatkan Israel dan negara berkuasa nuklear.

Perdana4Peace:  PERJUANGAN YANG BIJAK
Penghantaran makanan, ubat-ubatan, peralatan sekolah dan bahan binaan boleh saja melalui sempadan Mesir. Walau pun disekat oleh tentera Islam Mesir sendiri namun mungkin rundingan dalaman tertentu akan membuatkan Mesir 'berlembut hati' untuk secara ikhlas melepaskan semua bantuan ke GAZA. Tetapi kenapa semua bekalan berkenaan 'sengaja' dihantar melalui perairan Israel yang sangat sensitif dan berbahaya itu? Tentu ada sebabnya. Jika melalui Mesir, bantuan akhirnya mungkin sampai tetapi sekatan tetap akan diteruskan oleh Israel. Matlamat utama gerakan ini ialah mengajak dunia bertindak terhadap kezaliman Israel dengan langkah pertamanya ialah menghentikan sekatan terhadap GAZA. Apa yang SANGAT penting di sini ialah membawa Masyarakat Antarabangsa mendesak israel untuk menghentikan sekatan yang zalim itu.

Apabila komando Israel menyerbu dan bertindak ganas dengan membunuh ramai aktivis Free Gaza Movement di atas "deck" kapal Turki ( Mavi Marmara) maka dunia secapat kilat mengetahui bahawa Israel memang tidak berperikemanusiaan. Kebencian terhadap berlakunya insiden ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuklah tunjuk perasaan di seluruh dunia dan tindakan provokatif lain. Terdapat pihak yang bertindak melalui saluran undang-undang. Seluruh media kecuali media rasmi kerajaan israel mengutuk keras perbuatan yang melampau ini.

Pada pandangan penulis keadaan akan tidak sama seperti dulu. Israel sekarang ini menjadi liabiliti terhadap dunia. Masyarakat Antarabangsa melalui Kerajaan Dunia  akan memulakan usaha untuk menghapuskan sekatan berkenaan. Walau pun israel menujukkan pelbagai video yang cuba membayangkan bahawa tindakan kejam mereka adalah sebagai usaha untuk membela diri namun serangan terhadap kapal keamanan dan pembebasan berkenaan berlaku ketika ianya berada di kawasan perairan antarabangsa.

NGO's SEBAGAI PELENGKAP PBB
Penulis amat yakin bahawa tidak lama lagi kumpulan Masyarakat Antarabangsa yang menubuhkan NGO's ini akan mempunyai sistem rangkaian dan pentadbiran yang lebih teratur, Mereka juga akan mempunyai susunan hierarki dalam organisasi serta akan mempunyai prasarana pentadbiran yang lebih mantap diseluruh dunia. Mereka bersatu tanpa mengira warna kulit atau agama dan perjuangan mereka lebih kepada keadilan dan keamanan. Tidak mustahil juga suatu hari nanti kumpulan ini mempunyai kumpulan separa tentera yang akan menjadi penampan terhadap perjuangan mereka. Mereka juga akan lebih bersedia dengan kekuatan teknologi termasuk memiliki kemudahan satelit yang tidak boleh disekat pancaran gelombangnya bagi melawan regim yang lengkap bersenjata seperti israel.  Sebagai contohnya kita boleh melihat bagaimana corak perjuangan aktivitis Greenpeace yang secara istiqamah memperjuangkan keadilan yang kemudiannya telah dilengkapi dengan peralatan canggih. Jika PBB terus terlalu taksub dengan kuasa Veto atau kuasa "Para 'Bankers' Yahudi" maka Rangkaian NGO's akan bertindak sebagai satu saluran bertindak yang amat berkesan mengatasi PBB itu sendiri.

KERAJAAN DUNIA BIASANYA AKUR           
Apabila seluruh rakyat dalam sesebuah negara bersimpati dengan perjuangan yang dibawa oleh majoriti NGO's maka kerajaan negara berkenaan terpaksa bersetuju dengan mereka memandangkan ahli NGO's adalah merupakan entiti yang amat penting iaitu sebagai pengundi pro kerajaan dan bukannya dari kumpulan pembangkang atau teroris.

Mudah-mudahan dunia ini lebih seimbang.

Wallahualam
sysalq

Important Messages