Pesanan Penaja

Friday 23 July 2010

VETERAN PAS MENOLAK KESATUAN MELAYU DI BAWAH PAYUNG ISLAM

Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda Pas)

Salam,
Sedang penulis memandu pada jam 5.30 petang Jumaat 23 Julai 2010, Radio Ikim memancarkan satu siaran yang amat bermakna bagi umat Islam dan Melayu khususnya. Ustaz Dr Zamri bin Zainal Abidin, penerbit dan pengacara rancangan yang diberi nama Ad-Daurah tersebut, telah mengajukan beberapa persoalan kepada Mursyid Dr Zulkifli Mohd Al Bakri dalam isu yang berkaitan dengan perpaduan Muslimin dan Muslimat di Malaysia dengan merujuk kepada. Ayat 103 Surah Ali Imran.

Dapat penulis catatkan di sini isikandungan maksud ayat berkenaan:

"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.  Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada mu agar kamu mendapat petunjuk" (Ali Imran 103)

Mursyid Dr Zulkifli dengan nada ikhlas membawa pendengar menghayati bagaimana Rasulullah mendamaikan puak-puak dalam kalangan bangsa arab yang berbeza-beza. Pelbagai kabilah disatukan atas nama umpamanya Kaum Ansar (asalnya 2 kabilah yang tidak berapa sehaluan) dan Kaum Muhajirin yang mendatang juga terdiri dari beberapa puak yang disatukan dibawah satu nama. Semua usaha berkenaan melibatkan keikhlasan yang cukup mendalam yang mementingkan Al Wehdah (kesatuan) di bawah panji Islam mengatasi segalanya. Bukan sahaja kesatuan di kalangan Arab malah meliputi perjanjian di antara Kaum Yahudi dengan umat Islam disatukan di bawah satu perjanjian yang meliputi peranan masing-masing demi kemakmuran.

Menurut Dr Zulkifli lagi, (sebagai menjawab respons dari pendengar - mengapa Umat Islam berpecah setelah menang dalam peperangan seperti di Afganistan?) biasanya manusia bersatu ketika mereka lemah. Apabila sudah kuat maka masing-masing mempunyai haluan masing-masing yang berkaitan dengan nafsu sehingga mengetepikan kehendak Agama.  Natijahnya ialah perpecahan yang akan memberi kesempatan kepada musuh Islam yang akan memporakperandakan umat Islam yang berpecah itu.

Seorang pendengar bertanya adakah mereka yang mengekalkan perpecahan itu "tidak takut kepada Allah?" dan "apakah yang hendak dijawab diakhirat kelak?" Kekuatan bentuk soalan yang hampir sama juga telah diajukan oleh Rasulullah ketika umatnya pada masa itu menunjukkan tanda-tanda perpecahan. Baginda bertanya "Adakah kamu akan berpecah ketika Rasulullah masih disamping kamu?" Peringatan tersebut memberi kesan mendalam dihati umatnya dan mereka serta merta sedar di atas kesilapan masing-masing.

Ketika Utusan Malaysia menyiarkan sedutan tulisan Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda Pas) mengenai perpaduan diantara UMNO-PAS melalui blognya (http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/07/perpaduan-melayu-pas-tidak-perlu.html) hati penulis berdetik bahawa inilah ketika agaknya suatu era baru ke arah perpaduan UMNO-PAS. Beliau menukilkan frasa yang amat menarik berkaitan dengan "Kesatuan Ummah" yang berbunyi:

"5. UMNO hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita . Saya sarankan agar kita [ PAS ] tidak perlu menolak tawaran itu . Terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan , tetapi kita WAJIB letak syarat iaitu Islam . Kerana tanpa Islam , tawaran perpaduan itu sia - sia lantaran ia tidak mungkin dapat dibina dengan baik dan kukuh . Masih segar dalam ingatan saya malah selalu terngiang - ngiang di telinga saya , apabila al Mursyidul Aam PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan segala kerendahan dirinya berkata : "Kalau UMNO terima Islam, PAS ni tak ada pun tak apa !"

Namun selang beberapa ketika selepas itu maka para veteran PAS memperjelaskan kepada umum bahawa mereka tetap dengan pendirian lama bersama PR dan mustahil untuk bekerjasama dengan UMNO. Salah satu sebabnya ialah seruan kesatuan ummah ini adalah 'permainan politik UMNO'. Nampaknya Timbalan Naib Presiden PAS yang secara secepat kilat 'menyelamatkan keadaan' status quo PAS sambil menunjukkan bahawa kalangan veteran dengan para pemuda mereka mempunyai pandangan yang agak berbeza. Mereka mendakwa oleh kerana UMNO memperjuangkan Nasionalisma dan PAS 'memperjuangkan dasar Islam' maka ianya tidak sehaluan. Mereka tidak pula menyatakan bahawa DAP dan PKR memperjuangkan Islam.

Itulah salah satu contoh 'fatwa' yang boleh diambil kira sebagai kekhilafan fatwa (orang  yang mendakwa ulama) yang membawa perpecahan dan dikategorikan oleh jumhur ulama bahawa kekhilafan sebegini adalah bersifat Mazmu (buruk dan keji)  seperti yang dinyatakan oleh Al Fadhil Mursyid Dr Zulkifli dalam rancangan radio yang sangat berkesan itu. Mereka lupa bahawa kalangan yang mereka musuhi itu adalah tersiri dari orang yang juga mengucap "dua kalimah syahadah" seperti mereka.

Apakah seruan pemimpin UMNO melalui YAB Tan Sri Mahyuddin tempoh hari berkaitan dengan kesatuan ummah ini? Pemimpin No 2 negara itu meminta kalangan yang terlibat memandang dari aspek Keagamaan mengatasi perspektif politik. YAB Tan Sri jelasnya meminta semua pihak bersatu dibawah payung Islam dengan mengetepikan unsur-unsur politik! Bukankah beliau telah membacakan ayat 103 Surah Ali Imran? Adakah kalangan veteran PAS masih terus berpolitik setelah semua orang berseru ke arah persatuan? Ke mana Al-Quran dicampakkan oleh mereka?       

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages