Pesanan Penaja

Sunday 29 November 2009

MEDIA PRIMA harus "tengok-tengok" NTV7 !




Salam,

Rancangan NTV7 yang disiarkan semalam (Sabtu 28hb Nov 2009 sekitar jam 6.00 -7.00 malam) dalam medium Mandarin seharusnya ditapis betul-betul dahulu  sebelum disiarkan - jelasnya Media Prima harus tengok-tengokkan.  Jika tidak demikian, program seperti ini tidak akan membantu memenangi hati masyarakat Cina terhadap Kerajaan Malaysia di bawah BN. Sebaliknya apa yang bakal ditimbulkan ialah kebencian terhadap Kerajaan Pusat yang akan membuatkan masyarakat Cina menuduh bahawa kerajaan sengaja memperlekeh masyarakat cina.

Rancangan yang disiarkan itu lebih merupakan kritik masyarakat kepada pihak yang dipandang serong dan pengendali rancangan menemuramah pelbagai pihak yang akhirnya jika tidak diberi perhatian terhadap sekuen dan editingnya akan membuatkan penontonnya mempercayai bahawa kerajaan memang mengamalkan dasar pilih kasih. Siri yang ditayangkan itu memaparkan masalah ketidaksempurnaan fizikal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan isikandungan temuramah dengan Jemaah Pengurus Sekolah berkenaan lebih kepada mengkritik kerajaan yang dilihatnya tidak adil dalam memberi peruntukan berbanding dengan sekolah kebangsaan. Mereka mendakwa bahawa kerajaan hanya membina sederet bangunan berbanding dengan bangunan yang mereka bina sejak lama dahulu. Perbandingan ini seolah-olah ingin menarik perhatian masyarakat bahawa kerajaan "mengelat" dalam memberi bantuan seolah-olah apa yang dipentingkan oleh kerajaan ialah pengaruh di dalam sistem sekolah berkenaan.

Jika kita melihat kepada komen-komen seperti ini maka kita tentu berfikir bahawa usaha untuk mewujudkan sekolah satu aliran telah masuk era hampir mustahil. Masyarakat Cina cukup mengambil berat integriti SJKC dan bila melihat rentetan sejarah kita akan melihat bahawa penentangan terhadap sekolah satu aliran bukannya hanya datang dari luar malah dari dalam BN sendiri. Keperitan untuk memperkenal konsep Sekolah Wawasan dan Pengambilalihan Sekolah Kebangsaan di Johor Jaya, Johor untuk dijadikan SJKC pada suatu masa dulu sudah cukup untuk kita "membaca" bahawa terdapat pandangan sinis yang pesimis terhadap sebarang bentuk 'pencairan' konsep SJKC. Mereka berpendapat bahawa menghapuskan SJKC seolah-olah menghapuskan budaya mereka.
 
Dewasa kini ada ura-ura untuk mengembali usaha mengehadkan sekolah vernakular ini. Adakah ianya akan berjaya? Ada banyak kerja fundamental yang harus dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakannya kembali seperti kaitannya dengan Perlembagaan Negara dan akta tertentu, keduanya berkaitan dengan sikap MCA dan MIC sendiri.

Suatu usaha yang cerdik yang mungkin perlu dipertimbangkan ialah menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) benar-benar perkasa dengan kelengkapan sistem, infrastrukur dan standard. Usaha berkenaan termasuklah menawarkan semua disiplin yang ada di sekolah vernakular juga terdapat di SK dan ini memaksudkan bahawa fizikal SK harus bersedia dan muat untuk semua itu. Walau pun mekanisma "Memperkasa Sekolah Kebangsaan" termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) namun ianya perlu diterjemahkan kepada realiti secepat mungkin. Kejayaan konsep dan mekanisma itu amat bergantung kepada inovasi dan kreativiti yang akan membantu menjayakannya. Sebagai contohnya ialah sistem pengurusan perlu diiringi oleh kecanggihan ICT yang memerlukan kreativiti dan inovasi dimana kaedah manual hanya akan kelihatan ketinggalan zaman dan melambatkan masa respons terhadap sistem penyampaian.

Dalam proses memperkasa SK ini, jika di sekolah, guru besar dan pengetuanya dipilih dari orang  yang berkelulusan dan berwibawa maka di Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) harus juga mempunyai gambaran yang sama. Kita tidak mahu melihat keadaan dimana masyarakat hilang kepercayaan jika kakitangan yang telah jadi "dead wood" dipindah pula ke PPD (rujukan kepada cadangan sesetengah pihak baru-baru ini) yang kemudian ditugaskan untuk membetulkan pihak sekolah pula. Jika demikian ianya kelihatan amat anih dan tunggang-terbalik!

sysalq

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages