Pesanan Penaja

Friday 25 September 2009

Kita tiada parti lain lagi Tun...

Salam Tun,


Sedutan dari Youtube

Beza antara UMNO Ori dengan UMNO sekarang ialah popularitinya melangkaui populariti calon. Letaklah siapa-siapa, gerenti menang! Begitu hebatnya UMNO pada ketika itu. Sekarang kenapa timbul persoalan kualiti calon mengatasi parti itu sendiri? Mesti ada yang tidak kena.

Rasanya tentu Tun ingat ketika zaman Tun memerintah, media tidak sebebas sekarang dan internet tidak berleluasa seperti sekarang. Blogger seperti Tun sendiri memberi pengaruh kepada populariti UMNO. Bukan sahaja Malaysia Kini, malah Harakah, Keadilan dan DAP melalui media elektronik masing-masing setiap hari menghentam UMNO. Tun boleh kira berapa kali perkataan bermaksud seperti "UMNO akan kalah" yang telah disebut dan ditulis oleh Tun sendiri. Tun sendiri mengakui bahawa segala komen Tun akan menyebabkan UMNO menghadapi masalah dalam pilihan raya. Sebelum pilihan raya ke 12, Tun di pihak mana? Semua orang tahu Tun berada di seberang sana! Tun turut sama menghentam pemerintah yang terdiri dari orang UMNO! Adakah itu tidak menyumbang kepada permasalahan populariti UMNO?

Saya berpendapat Tun tidak sayangkan UMNO yang Tun sendiri bina. UMNO Baru ini dicetuskan oleh Tun sendiri. Dulu, pada waktu UMNO Ori sedang berkuasa mungkin Tun disindir oleh sosek-sosek ahli UMNO sendiri bahawa Tun dikatakan sebagai bukan Melayu tulin dan tidak sesuai memegang tampuk jawatan presiden. Apabila UMNO Baru ditubuhkan oleh Tun, tiada siapa mempertikai tentang ketulenan keturunan sesiapa kerana Tun yang 'memulihkannya' Ramai yang percaya bahawa Tun akan memelihara integriti UMNO sedaya upaya kerana Tun yang menjadi panglimanya.

Tun memang hebat, ketika UMNO Ori diharamkan Tun dapat mempengaruhi khalayak yang tinggal pada masa itu untuk masih mempercayai Tun sebagai Perdana Menteri. Di sini, jika dikenang-kenangkan bahawa BN yang telah bersama kita sejak sekian lama tetap setia kepada Tun secara peribadi bukan kepada UMNO...kerana UMNO telah diharamkan.

Tun, ini Tanah Melayu kita. Tiada tempat lain kita nak pergi. Tun telah berjaya menaikkan imej Malaysia kemerata dunia. Pada setiap ketika semasa Tun memerintah tiada siapa yang menggugat Tun kerana kehebatan Tun..malah sekuat-kuat Timbalan-timbalan Tun semuanya tidak dapat mengatasi Tun sendiri. Ibarat pisau dijari Tun dan UMNO sekarang ini menjadi mentimun yang dengan mudah dikerat dan dipotong. Saya percaya perkataan dari Tun amat memberi impak. Ianya seolah-olah akan menjadi impian atau igauan kepada banyak khalayak. UMNO sekarang ini Tun yang memulakannya! Tun peliharalah dengan baik. Jadilah penasihat yang memberi semangat kental sepanjang masa bukan hanya dipenghujung proses. Kita tiada parti lain lagi Tun...khusus untuk orang Melayu. Bantulah kita semua.

Jasa-jasa Tun tiada siapa yang dapat menyanggah. Tun adalah idola saya, namun demikian berilah peluang saya dan kami semua untuk terus menyanjung Tun sebagai pembela nasib orang berketurunan Melayu yang dahagakan kejayaan. Berilah nasihat-nasihat yang penuh bersemangat. Saya percaya jika Tun beristiqamah di dalam perkara ini maka UMNO dan BN akan lebih mudah untuk memenangi kembali imej yang telah dipancarkan semenjak zaman kegemilangannya.

Begitulah harapan saya Tun. Semoga Tun terus sihat untuk menjayakan misi ini. Wassalam

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages