Pesanan Penaja

Thursday 9 October 2008

Pak Lah, seorang PM yang Penyabar

Maka tersebarlah berita mengenai peralihan kuasa apabila semua orang menjangka bahawa Datuk Seri Najib akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2009. Bukanlah penulis blog ini ingin menuruti fenomena mengenang sesaorang apabila orang berkenaan akan pergi atau telah pun pergi, tetapi lebih kepada menyatakan fakta mengenai hebatnya siapa itu Pak Lah.

Apabila bekas Menteri Perdangangan mencadangkan supaya rakyat Malaysia elok jangan memanggil PM dengan gelaran Pak Lah maka Pak Lah kata tidak mengapa...panggillah dengan nama tersebut malah beliau lebih selesa dengan gelaran tersebut. Pak Lah adalah gelaran mesra tradisi dan mesra keluarga dan begitulah stail kepimpinan Pak Lah yang bersifat mesra tradisi, prokonsensus dan dalam keadaan yang begitu tenang sekali apabila membuat keputusan. Oleh itu tiada keputusan yang hanya datang dari beliau semata-mata.

Pernah dulu semasa beliau mula mengambil alih jawatan PM, beliau menyatakan hasrat untuk mengisi kekosongan atau jurang pencapaian orang Melayu dalam banyak bidang. Apabila beliau menyentuh soal Melayu, beliau melihat menebusi kampung dan desa serta kehidupan di pantai-pantai timur tanah air, malah beliau telah membuktikan keperihatinan dengan mewujudkan pelbagai dasar baru bagi membantu golongan tersebut.

Apabila mantan PM (Tun Dr Mahathir) membawa rakyat Malaysia 'berlari' untuk mengejar kemajuan dengan memperkenalkan istila Melayu Baru sesuai dengan suasana Arus Wawasan 2020 (Melayu dengan semangat dan perspektif baru), mereka secara drastik cuba disuntik dengan semangat perjuangan ekonomi. Menurut sesetengah pendapat pula, terdapat golongan Melayu yang tertinggal akibat ketidakampuhan sumber yang ada pada mereka. Atau boleh juga dikatakan "sumber" yang dimiliki oleh rakan seperjuangan mereka jauh melangkaui dari apa yang ada ditangan mereka (disebabkan faktor sejarah). Akibat dari semua itu, timbul keluhan-keluhan bahawa mereka ditinggalkan dalam arus pengejaran perdana malah ramai yang mempercayai (secara kebetulan selari dengan kempen pembangkang) bahawa wujud pula "vakum" dalam hal-hal pembangunan agama.

Apabila melihat fenomena 'ketinggalan' atau 'ketidakmampuan bersaing' orang Melayu di dalam tanah airnya sendiri maka Pak Lah melihat tugas mengisi vakum dan jurang berkenaan adalah tugas utama beliau. Memang terbukti, beliau telah berjaya merealisasikan apa yang dipercayai dapat membantu golongan berkenaan dan dua siri bajet negara semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan. Gagasan mengutamakan pertanian dan bantuan kepada golongan orang yang berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar ini dibuktikan signifikannya dengan tercetusnya pelbagai koridor pembangunan berasaskan pertanian seperti yang telah dilancarkan. Bagi mengisi kekosongan dalam perspektif agama Pak Lah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang mengaplikasikan kaedah Islam di dalam dunia moden. Maka terpulanglah kepada pemimpin pewaris yang meneruskan segala usaha tersebut.

Suatu perkara menarik ialah fenomena berkaitan dengan seorang figura seumpama Anwar Ibrahim yang dilepaskan dari penjara semasa zaman Pak Lah memerintah. Walau pun isu ini begitu kontroversial sekali namun Anwar telah dilihat sebagai orang yang terpaksa berjuang dengan menggunakan aset sendiri. Anwar dan penyokongnya tidak boleh lagi menggunakan unsur simpati untuk kempen pilihanrayanya kerana isu berkenaan tidak lagi berkaitan. Oleh itu, tanpa disedari oleh sesiapa bahawa jika Anwar kali ini "jatuh" maka dia akan benar-benar "jatuh tersungkur" akibat dari urusan diri sendiri dan bukannya 'dizalimi' oleh sesiapa.

Pak Lah seorang yang amat penyabar. Beratus-ratus provokasi dalam bentuk foto dan video yang mengutuk dan memfitnah beliau disiarkan di dalam pelbagai media namun beliau cuma memberi nasihat agar rakyat jangan meneruskan perkara buruk berkenaan. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan artikel berkenaan adalah bersumber dan berkaitan dengan pihak pembangkang beliau. Sebagai contoh: "multimedia baner filem" yang mempermainkan beliau datangnya dari penulis blog yang menulis artikel propembangkang.

Mujurlah Pak Lah adalah PM yang kuat mengawal nafsu marah (mungkin beliau memaafkan ketelanjuran sesiapa). Jika nafsu amarah beliau gagal dikawal maka kita sudah tentu akan melihat suasana anarki berlaku di dalam negara yang tercinta ini. Beliau mengawal dengan ketat akan apa yang hendak diperkatakan agar tidak menimbulkan kontroversi dan kekecohan. Lihat sajalah proses peralihan kuasa yang bakal dilaksanakan. Kita dapat melihat adab sopan yang ditunjukkan oleh anak seorang Ulama ini. Jika beliau seorang diktator atau orang yang ingin mengekalkan kuasa maka proses selembut ini tidak akan berlaku.

Akhirkata penulis mendoakan agar Pak Lah diberi penuh keberkatan di dunia dan akhirat.

Wallahualam.
sysalq.

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages