Pesanan Penaja

Saturday 9 August 2008

MAJLIS PEGUAM: SYARIAH ATAU SIVIL?


En Ragunath Kesavan, Timbalan President Majlis Peguam Malaysia di dalam The Malaysian Insider menyatakan forum mengenai "Memeluk Islam" akan tetap diteruskan disamping pelbagai reaksi dari pihak awam. Beliau menyatakan bahawa isu-isu yang membabitkan dua kes contoh yang dibawa adalah bersabit dengan konflik yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil. Malah beliau mengaitkan keterbukaan PM dengan keperluan untuk menganjurkan forum-forum terbuka seperti itu. Persoalan pertindihan bidang kuasa mahkamah tersebut kononnya telah menimbulkan kekeliruan. Apa yang mungkin En Ragunath lupa ialah bidang operasi Mahkamah Syariah berjalan hanya apabila melibatkan plaintif atau defenden yang beragama Islam dan kes yang timbul ialah kes yang bersabit dengan perlaksanaan Hukum Islam terhadap individu berkenaan. Soal memeluk Islam tidak timbul langsung kerana tidak melibatkan sebarang paksaan dalam persoalan menukar agama. Persoalan perhubungan keluarga sebelum dan selepas memeluk Islam bukanlah perkara yang asing dalam fenomena menukar agama ini. Keluarga adalah tetap keluarga.


Saya ingin menyorot peristiwa dalam suatu seminar mengenai Mahkamah Syariah tidak lama dulu yang melibatkan Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim. Pada sesi soaljawab seorang peserta seminar (seorang peguam non-muslim) telah bertanya dengan sinis tentang mengapakah Undang-undang Syariah masih perlu digunapakai di Malaysia. Prof Ahmad menjawab sambil menyindir bahawa apa perlunya kita pula masih terus menggunapakai undang-undang sivil Brittish sedangkan tiada lagi orang Britain di sini dan majoriti rakyat Malaysia ialah orang Islam. Logiknya di sini ialah keperluan untuk mengamalkan undang-undang syariah adalah lebih utama.


Saya ingin merujuk suatu artikel yang diterbikan oleh Utusan Malaysia tidak lama dulu yang berbunyi: "Common Law wajar dimansuh" oleh Moh Azmi Abd Hamid (Presiden TERAS) berikut ialah pernyataan yang dimaksudkan.


"TERAS menyokong penuh cadangan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tun Ahmad Fairuz supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air serta yang sesuai dengan syariah.


Kenyataan beliau itu sangat wajar memandangkan 50 tahun kemerdekaan Malaysia tidak membawa makna jika kita masih bergantung dan bersandar kepada undang-undang penjajah. Sememangnya antara aspek yang sangat penting dalam mencapai kemerdekaan ialah sesebuah negara itu dapat mengguna pakai undang-undangnya sendiri sebagai ganti kepada undang-undang Inggeris dalam pemerintahan negara.


TERAS berpendapat kita perlu menggerakkan pendekatan yang lebih tepat dengan budaya dan khazanah kita sendiri dalam mengisi erti kemerdekaan. Apalah gunanya kita masih mengamalkan perundangan yang jelas asing daripada realiti dan keadaan tempatan kita sedangkan kita sudah pun mempunyai khazanah perundangan kita sendiri.


TERAS berpendapat adalah sangat wajar Malaysia menggubal semula sistem perundangannya ke arah berteraskan syariah kerana sistem syariah Islam yang lengkap dan meliputi semua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara telah pun mempunyai tapaknya sejak kedatangan Islam pada abad 13 lagi.


Apatah lagi sistem perundangan Islam merupakan sistem yang tidak memisahkan antara undang-undang peribadi dengan undang-undang awam.
Malah kesepaduan undang-undang Islam antara aspek rohani dan jasmani, peribadi dan awam dan antara negara dan masyarakat jauh lebih unggul dari perundangan Inggeris yang sekular.


Kami dengan itu menyeru agar pihak kerajaan menimbangkan dengan teliti cadangan Tun Ahmad Fairuz itu supaya kemerdekaan 50 tahun ini menjadi titik bermula kita melaksanakan proses Islamisasi perundangan seperti yang cuba dilakukan oleh Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim.

TERAS berpandangan adalah tidak tepat mereka yang berfikir bahawa sistem syariah tidak punya tempat dalam perlembagaan Persekutuan. Tafsiran Artikel 3 dalam perlembagaan sepatutnya memberi justifikasi bahawa agama Islam yang dimaksudkan sebagai agama rasmi Persekutuan hendaklah berdasarkan makna Islam yang murni dan meliputi.


Bukan hanya soal acara ritual semata seperti yang sedang digambarkan oleh golongan yang mahu memisahkan undang-undang agama dari negara".



Berbalik kepada persoalan kebebasan kita semua rakyat Malaysia dalam memberi pendapat, kita harus sedar bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai DYMM YDP Agung yang memelihara kesucian Islam serta yang mengamalkan demokrasi secara terpimpin yang bukannya seperi demokrasi ala barat. Kita semua wajib sedar bahawa negara ini adalah Negara Islam yang berteraskan al-Quran, Assunnah dan Ijmak Ulama'. Kita mempunyai adab (protokol) yang tersendiri. Kekuatan pegangan ini tidak pernah digugat sejak beratus tahun dahulu sehingga sejak akhir-akhir ini. Jika ada sesiapa yang cuba merobah senario ini bagi kepentingan kumpulan mereka bermakna mereka harus berhadapan dengan seluruh sistem yang telah terbentuk sejak sekian lama. Mungkin bentuk tentangannya agak berbeza dengan tentangan ketika peristiwa berdarah "NATRAH" namun tempiasnya mungkin tidak boleh diramalkan.

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages