Pesanan Penaja

Friday 23 September 2011

'CHANGE' - Falsafah dan makna lain.


Makna "Change" pada kebanyakan pemimpin dunia ialah "Keterpaksaan berubah - tidak boleh tidak" - seolah-olah ianya seperti runut filem yang pasti dimainkan mengikut babak. Lepas satu babak ke babak lain secara berterusan tanpa dapat dielakkan. Kita terikut-ikut dengan "media brain storming" dan akhirnya kita terperangkap dalam putaran malang ciptaan Barat. Mereka terus mengajak kita mengikut "Change" sejak dari zaman dulu sehingga ke zaman globalisasi. Maka kita terus jadi 'ayam' untuk terus diperangkap dalam 'reban!' yang akhirnya 'disembelih'.

Dulu - penulis pun terikut-ikut dengan sesetengah saranan pemimpin dan penulis prolifik bahawa "Change" itu memang sifatnya begitu. Tidak boleh tidak ikut trend - jika tidak,  kita dikatakan ketinggalan dan bakal dimamah gergasi konglomerat perniagaan. Bank-bank milik negara "cilik" dikatakan akan ditelan oleh kumpulan wang yang dikuasai oleh entiti 'besar' berkenaan. Akhirnya pemimpin menganjurkan penggabungan bank-bank kecil supaya menjadi lebih besar dan lebih 'kuat'. Rupanya kadang-kadang yang dikatakan besar dengan 'kandungan baru' itu pun boleh dimamah dengan sekaligus.

Penulis terfikir dan ingin kaitkan dengan kes domestik pembeli rumah yang secara kebetulan terbengkalai - pada mulanya masing-masing menjadi marah dan garang untuk melawan pemaju akibat insiden malang itu. Mengambil kesempatan dari kemarahan itu maka suatu kumpulan bertindak ditubuhkan bagi mencapai kesepakatan secara total dan bertindak melalui peguam - namun peguam (peguam belot) ini telah sedia untuk di "ngap!" oleh pemaju sekaligus! Penggabungan entiti untuk sama-sama lebih mudah ditelan. Contoh kedua, pensyarikatan kelihatan baik - beberapa individu menjadi begitu kaya kerana terpilih menjadi peneraju syarikat GLC. Mereka sepatutunya menjadi payung kepada entiti kecil bumiputra. Idea berkenaan datang dari Jepun dan lebih bersifat perniagaan awam. Perniagaan awam bermakna bukan perniagaan milik ahli keluarga. Dikatakan perniagaan kalangan ahli keluarga adalah lapuk dan  tidak semantap perniagaan entiti awam. Namun apa yang didapati ialah kebanyakan syarikat yang bertahan lama ialah syarikat keluarga! Di Amerika umpamanya ada perniagaan berteraskan keluarga yang terus mantap walau telah ditubuhkan sejak 1947 lagi.Syarikat yang berteraskan awam kadangkala tersungkur oleh ketiadaan perasaan "We Feeling" atau tiada integriti. Boleh terlingkup walau pun namanya begitu tersohor sepanjang zaman! Ini tidak termasuk dari kekukuhan syarikat keluarga milik 'pemimpin-pemimpin' besar dunia!

Lebih kurang 20 tahun yang lalu penulis mempertikai tentang kewujudan pelbagai institusi penyiaran swasta yang tumbuh bak cendawan - ini menurut penulis akan menyukarkan kerajaan untuk menyampaikan risalah. Tulisan penulis diterbitkan di dalam satu kolum kecil dalam Berita Harian.  Penentangan berkenaan kelihatan 'melawan' semangat "Change" kerana kelihatan tidak mahu 'kemajuan'. Sekarang ini Kerajaan menjadi 'pening kepala' untuk menyampaikan risalah dan dakwah kerana rakyat tidak menonton siaran kerajaan sebagai contohnya orang Cina di Johor umpamanya menonton program Mandarin dari Singapura. Apabila berpuluh-puluh saluran dengan beribu program yang ada sekarang ini di kaca TV - cuba jawab berapa peratus yang mendengar risalah kerajaan? Adakah itu tidak menyukarkan? ini bermakna kita telah terperangkap di dalam permainan "Change" yang direka oleh pemukanya dari Barat! Apabila pemilik gergasi media ini hendak mencapai maksudnya maka dengan mudah semua media dilaraskan untuk bertindak dalam pelbagai cara.

Adakah "Change" benar-benar tidak dapat dielakkan? Sebenarnya "Change" boleh dielakkan dan malah boleh diundurkan (reverse) - ianya bukan terpaksa dan bukan tertinggal jika tidak mengikut aliran perdana. Aliran perdana yang direka oleh kumpulan elit dunia ialah semata-mata untuk memastikan bahawa 'ayam dalam reban' tadi tidak lari dari 'maize' atau 'perangkap' atau sistem yang telah ditentukan oleh mereka. Buktinya ialah Rasulullah tidak mengikut "Change" cara barat-ala Kerajaan Rom atau Yunani dan baginda telah mewujudkan masyarakat yang amat unik yang begitu lain sistemnya. Korea, Negara Cina, Cuba dan lain-lain boleh tidak mengikut aliran perdana dan terus hidup mengikut cara mereka. Mereka amat berhati-hati dengan perubahan secara semberono - lebih-lebih lagi jika perubahan itu seperti "mengikutnya kerbau yang ditarik hidung." Jadi mereka sebenarnya boleh "reverse" dan boleh lebih laju dari masyarakat yang dikatakan mengikut "trend". Bayangkan jika anda dikatakan melanggar adab di dalam sistem mereka - semua akaun bank anda akan di sekat, dimanupulasi dan dipindahkan. Silap haribulan identiti anda pun boleh dighaibkan dari pangkalan data global. Identiti anda boleh 'dibunuh' begitu sahaja.

Dari sudut operasinya bila kita cuba memberi makna lain terhadap "Change" berkenaan maka hati-hatilah jangan sampai melanggar norma-norma Agama - apatah lagi jika kita sentiasa menerap model-model barat . Terdapat kes dimana segala hukum hakam dilanggari secara semberono. Mencari kekayaan dan hegemoni tanpa mengira hukum itu haram dari perspektif Islam. Contohnya jika Arak itu haram, bersempudal dengan industrinya juga haram - termasuklah membeli atau memegang saham syarikatnya. Jika kita menjadi pemimpin dan ingin terus dikenang kita perlu pastikan pimpinan kepada diri, keluarga dan masyarakat terdekat memang berkesan. Jika tidak,  ianya akan menjadi cacat.   

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages