Pesanan Penaja

Saturday 11 September 2010

Trauma dan Penghayatan Gagasan 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia

Saya melihat amalan Gagasan 1Malaysia di Hospital. Semua pengunjung hospital melihatnya tanpa
disedari. Pelbagai kaum melayan pelbagai kerenah pesakit. Pesakit yang terdiri dari pelbagai kaum pula
menerima rawatan dan ubat-ubatan dengan penuh keyakinan di Hospital Tunku Tun Aminah di Johor Bahru.
Pada suatu masa ketika saya duduk menunggu giliran untuk mengambil ubat isteri, saya melihat semua
pelanggan menunggunya dengan penuh kesabaran. Setiap orang melihat-lihat papan panel nombor giliran
elektronik yang terus memaparkan nombor-nombor giliran satu demi satu. Ada lebih dari 7 kaunter
pemberian perskrepsi dan penerimaan dokumen.

Apa yang dapat saya lihat ialah orang yang berkunjung ke hospital ini atau ke mana-mana hospital di Malaysia ini merupakan samada pesakit, pelawat atau petugas. Klien utama bagi institusi ini sebenarnya ialah pesakit dan mereka ini memerlukan rawatan bagi menyelesaikan permasalahan mereka. Seperti lumrahnya, serangan dan kemudharatan penyakit tidak mengira kaum. Sesiapa sahaja boleh dihinggapi oleh gangguan fizikal dan mental yang memerlukan pemerhatian. Tiada suatu kaum pun yang lepas dari dugaan ini. Oleh itu kesemua mereka akur dengan keperluan untuk secara bersama mengunjungi hospital yang menerima semua kaum. Sebab itulah saya melihat penghayatan konsep 1Malaysia sangat segar apabila mereka dalam keadaan yang amat memerlukan pertolongan. Ini bermakna dugaan dan kesusahan menyebabkan manusia memerlukan perpaduan antara kaum.

Berkaitan dengan itu kita boleh juga melihat kepada penduduk sesebuah negara yang mengalami trauma apabila tercetusnya insiden atau malapetaka alam. Tanpa mengira kaum, atau kumpulan mereka berpusu-pusu untuk mendapatkan bekalan makanan atau perubatan. Mereka tidak sempat untuk bertanya sesiapa dari kaum apa. Mereka tidak sempat berfikir mengenainya pun. Apa yang perlu bagi mereka ialah menyelesaikan permasalahan dan keperluan yang dihadap. Konsep kesatuan dan Perpaduan menjadi nadi utama dalam masyarakat yang berada dalam kesusahan.

Bandingkan keadaan di atas apabila sesuatu kumpulan itu berada dalam keselesaan semata-mata. Rakyat bakal menjadi individualistik. Semua keperluan seperti makan dan pakai mencukupi malah berlebihan. Keperluan mereka bukan lagi kepada perkara yang asas tetapi kepada persoalan harga diri dan soal kebebasan. Pada waktu sedemikianlah manusia akan menjadi begitu kritis sentiasa ingin mendapatkan lebih kebebasan.Pada waktu ini orang kaya akan cuba menambah kekayaan dan yang miskin akan mempertikai sikap mereka.

Bila direnung-renung kembali, dugaan yang bertalu-talu mendatang kepada rakyat Malaysia menjadikan mereka dalam keadaan yang sedikit kurang selesa. Ancaman luar seperti pertikaian Indonesia - Malaysia dan faktor ketegangan perkauman di dalam negara merupakan dorongan yang hebat bagi mengajak masyarakat untuk kembali menghayati konsep perpaduan seperti yang telah diamalkan sejak 53 tahun lalu. Masyarakat Melayu-Bumiputra dan kaum Bukan Melayu tidak secara langsung mula kembali melihat sempadan aktiviti masing-masing. Isu persempadanan antara Malaysia-Indonesia juga akan diselesaikan dengan segera oleh kedua-dua negara. Rakyat mungkin menjadi 'sibuk' dengan permasalahan ini dan lebih memikirkan kemudharatan dan kerugian jika semua isu berkenaan tidak dapat diselesaikan dengan baik.               

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages