Pesanan Penaja

Tuesday 21 September 2010

DASAR EKONOMI BARU DAN GAGASAN 1MALAYSIA: DUA UBAT MENANGANI PERPECAHAN YANG AMAT MUJARAB


 Datuk Seri Muhd Najib Tun Razak

Ada 4 pandangan popular mengenai  kemerosotan undi untuk BN dalam pilihanraya 2008 yang lepas. Pertamanya ialah hilangnya sifat setiakawan komponen bukan Melayu terhadap UMNO dan BN. Keduanya  komponen Bukan Melayu terlalu yakin dan selesa dengan kekuatan UMNO serta  terlalu bergantung dengannya. Ketiganya ialah gerakan penentangan terhadap kerajaan pada waktu itu oleh Mantan PM melalu multi-platform sehingga kerajaan yang memerintah ketika itu menjadi kurang popular. Akhir sekali ialah provokasi dan tohmahan dari Pakatan Rakyat yang mengambil kesempatan dari senario pecah-belah di atas dan ditambah pula dengan sikap rakyat yang mahu cuba bereksperimentasi dalam pemilihan kerajaan yang memerintah.

Trend utama dalam kemelut yang telah dibincangkan itu ialah “perpecahan”. Ini termasuklah perpecahan di kalangan parti komponen BN, di antara UMNO dan parti Bukan Melayu  serta antara Kem PM   dan Mantan PM pada ketika itu. Natijah buruk  hasil dari kekalutan itu ialah tidak lain dari kehilangan jumlah banyak undi  yang akhirnya menyebabkan BN kehilangan pengaruh bagi  enam negeri. 
 
Datuk Seri Mohd Najib (DSMN) selaku PM kini, “membaca” dan juga mengetahui bahayanya jika beliau gagal menangani nya. Lihatlah bagaimana DSMN mendatangkan kedua-dua Mantan PM (YABhg Tun Abdullah dan YABhg Tun Mahathir )  untuk bersama meraikan perhimpunan Agung UMNO dan beraspirasi untuk melihat kedua mereka melupakan pergeseran yang pernah berlaku.  Ubat bagi segala pepecahan lain yang telah tercetus ialah penyatuan dan perpaduan atau pertautan kembali. Kebijaksanaan DSMN dalam membawa roh perpaduan  baru di dalam Gagasan 1Malaysia adalah amat tepat pada masanya. Ianya seperti ubat  Dasar Ekonomi Baru bagi menjawab persoalan dalam Kemelut 13 Mei 1969.

Mengenai Hak-hak Melayu vs Bangsa Malaysia, Wawasan 2020 telah mempopularkan istilah Bangsa Malaysia sebagai sebuah bangsa  mendiami  Malaysia  yang terdiri dari pelbagai kaum yang bersepadu  dengan suatu  Budaya Malaysia. Budaya Malaysia ialah budaya yang diamalkan oleh Bangsa Malaysia yang merupakan adunan budaya pelbagai kaum yang berteraskan Budaya Melayu. Parti Pembangkang memanupulasi takrif Gagasan 1Malaysia dan istilah Bangsa Malaysia sebagai seolah-olah suatu gerakan kesamarataan dalam segala segi.  Orang Melayu pula melihat bahawa mereka mempunyai hak yang tidak boleh disamaratakan dan hak berkenaan termaktub di dalam Fasal 153 Perlembagaan Negara. Akibat penyalahtafsiran ini maka Orang Melayu mula memandang sinis terhadap Gagasan 1Malaysia. 

Sebenarnya,  penghayatan mengenai Budaya Malaysia telah lama diperjuang dan diamalkan yang sedikit sebanyak telah memberi impak positif  kepada pembentukan generasi muda Malaysia dewasa kini. Namun oleh kerana cabaran dari media aliran Perdana dan alternatif serta pengaruh  internet begitu kuat sekali  maka budaya barat  kerap kali mendominasi pemikiran dan amalan generasi muda.

Suatu perkara yang agak sukar untuk ditangani ialah kepercayaan dan sifat kesetiakawanan di kalangan parti komponen BN. UMNO telah mula mencurigai  komponen Bukan Melayu  yang kelihatan tidak menyokong  BN dan UMNO dalam pilihanraya 2008. Maka, bagi memelihara integriti dan kesinambungan perjuangan Melayu maka PERKASA telah muncul sebagai pelapis bagi memelihara hak-hak Kaum Melayu yang dikhuatiri bakal diganggu-gugat. MCA dan MIC telah mencurigai sikap dan kewujudan PERKASA kerana NGO berkenaan menjadikan mereka sebagai bahan kritik. Untuk menjadi lebih parah lagi Parti komponen Bukan Melayu pula kelihatan sering menuntut sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan persis seperti tuntutan parti pembangkang .  Secara kontranya, UMNO pula dicurigai oleh komponen Bukan Melayu  apabila melihat ramai dari kalangan  pemimpin UMNO turut berada di dalam PERKASA. Jadi tiada keikhlasan  lagi dalam sifat setiakawan BN dewasa kini. Ini adalah sesuatu yang amat tidak baik bagi sebuah Barisan Nasional  yang sepatutnya bersatu padu.

DSMN melihat  kemurungan di atas sebagai suatu projek besar yang harus diselesaikan segera . Beliau percaya impak terhadap penyelesaian masalah setiakawan di kalangan komponen BN adalah amat besar dan bermakna. Jika beliau dapat mempertautkan semula semua parti komponen dalam BN maka rakyat akan merasa lebih yakin terhadap kepimpinan beliau dan akan memilih semula kerajaan pimpinannya untuk pilihanraya yang akan datang.  Apatah lagi sekarang ini hampir kebanyakan komponen dalam Pakatan Rakyat telah menunjukkan tembelang dan permasalahan mereka yang memungkinkan kemerosotan sokongan dari undian eksperimen rakyat. Rakyat akan sedar bahawa pemilihan bagi sebuah kerajaan  yang teguh tidak boleh jadi mainan eksperimen kerana setiap detik masa adalah sangat penting untuk dibazirkan begitu sahaja.

Di sini,  apa yang rakyat mahukan ialah pengiktirafan atau baiah yang ikhlas dan tulen dari masing-masing komponen BN bahawa mereka benar-benar terus memelihara sifat kesetiakawanan  dan tidak akan belot kepada sesiapa.  Ianya bukan hanya bersifat teori tetapi diamalkan secara jujur. Tidak perlu dipertikaikan kewujudan PERKASA kerana mereka ialah NGO yang wujud bertujuan untuk memastikan hak-hak Melayu terus dijaga dan diamalkan.  Mereka tidak berniat merampas apa-apa hak orang lain kecuali ada sesiapa yang belot dan melanggar kehendak 153 Perlembagaan Negara.  

Saya percaya bahawa DSMN akan meneruskan agenda bagi mempertautkan kembali komponen BN dengan pelbagai projek dan aktiviti. Gagasan 1Malaysia akan terus dipopularkan  dan dihayati menerusi program-program yang lebih menyeluruh serta akan sentiasa berkumandang dicorong radio, dikaca TV dan melalui pelbagai media lainnya. Jika misi ini Berjaya maka saya merasakan bahawa BN akan terus menerajui pemerintahan negara ini dengan sokongan kuat dari PERKASA.         

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages