Pesanan Penaja

Wednesday 14 October 2009

PETUA UNTUK MEMERTABATKAN UMNO

 Mercutanda  kehebatan dalam aspek KEPIMPINAN Futuristik

Salam,

Tahniah kepada seluruh jentera UMNO yang berjaya memenangi kerusi DUN Bagan Pinang. Seperti yang telah penulis war-warkan pada posting sebelumnya bahawa UMNO telah kembali menjadi popular. InsyaAllah tidak mustahil bagi UMNO untuk menjadi peneraju yang boleh meranapkan PR dalam sebarang Pilihanraya. Maksudnya apabila pertandingan berlaku di dalam kawasan pembangkang maka mereka akan kehilangan atau kekurangan majoriti dan wajib kalah jika bertanding dalam kubu UMNO dan BN.

Penulis telah diberi ilham untuk mengajukan beberapa item bagi tujuan penghayatan dan amalan yang harus diambil kira dalam misi untuk memartabat dan memperkasa UMNO. Penulis berharap agar ada pihak dari kalangan ahli UMNO khususnya, menyentuh dan memperincikannya di dalam perhimpunan UMNO yang sedang berjalan.   Item-item berkenaan ialah:

Mempertahankan Prinsip:
Jika sesuatu isu timbul UMNO tidak lari dari melihat dari perspektif prinsipnya. Perdebatan tidak berasaskan sentimen tetapi informasi, pengetahuan dan realistik untuk diamalkan.

Menjadi Pelindung dan Pembela:
Jika timbul isu berkaitan dengan kepentingan Melayu khususnya maka UMNO bersedia dilihat sebagai Pelindung dan Pembela yang pegangan dan perjuangannya tidak boleh dijual-beli.

Memasyarakatkan UMNO:
UMNO ialah Orang Melayu dan Bumiputra. UMNO ialah komponen masyarakat yang bukan berada di luar lingkungan. Oleh itu UMNO mendengar rintihan masyarakat dari dalam, bukan dari kejauhan. Tindakan dilaksanakan berasaskan fakta dan bukannya tindakan yang melulu.

Islamik dan Ikhlas:
Urusan ini termasuk di dalam perlembagaan cuma UMNO tidak akan "berlakun" atau ber "hipokrit" pada ketika menunaikan sebarang kebaikan atau ketika menegur masyarakat. Namun,  teguran yang diutarakan bukan bertujuan untuk menonjolkan kepentingan peribadi atau untuk menjatuhkan maruah.

Keterbukaan:
Perkongsian idea tercetus apabila sering bermesyuarah. Idea boleh dikritik dan diperhalusi dan dilihat melalui segenap perspektif. Lebih banyak pihak diminta pandangan adalah lebih baik. Keputusan muktamad adalah berdasarkan roh perbincangan.

Keluarga Besar:
Bercirikan sifat-sifat di atas maka UMNO  boleh dihayati  sebagai suatu Keluarga Besar. Keluarga yang penyayang yang tidak  terlalu berprotokol tetapi amat beradab. Adab dalam Islam dan kelembutan budaya Melayu menjadi komponen penting dalam berinteraksi. Kritikan boleh diutarakan tetapi dengan penuh beradab. Kejelekitan ahli keluarga ini adalah pada peringkat yang amat tinggi.  Amalan ini sesuai dikaitkan dengan Gagasan 1Malaysia!

Berilmu dan Beramal serta Bijaksana:
Semua isu dilihat dari segi informasi, ilmu, didekati dan diselesaikan secara bijaksana. Amalan "menarik rambut dalam tepung - tepung jangan berserak" harus menjadi darah daging. Sentimen hanya perlu bila UMNO memerlukan sedikit semangat untuk menghangatkan isu.

Seimbang:
Mekanisme perjuangan UMNO perlu menampakkan keseimbangan di antara amalan dunia dan akhirat. UMNO perlu melihat perkara dalam konteks Fizikal dan Spiritual. Amalan ini bertujuan untuk mengelakkan kewujudan "vakum" nilai di dalam perjuangan. Jika demikian perjuangan akan menjadi sia-sia.

Moden dan Futuristik:
Jika UMNO beraktiviti maka bentuk aktivitinya haruslah bersifat Moden dan Futuristik dalam konteks Islamik. Menurut Tun Dr Mahathir, seorang pemimpin yang berkesan perlu membaca dan menelah apa yang akan berlaku pada masa hadapan.  Sebagai tambahannya penulis berpendapat selain itu UMNO perlu menggalakkan percambahan pemikiran dan aktiviti berasaskan Kreativiti dan Inovasi agar  tidak ketinggalan di dalam menjadi peneraju produk. Masyarakat Melayu khususnya tidak harus hanya menjadi pengguna semata-mata kerana jika fenomena ini berterusan maka mereka lebih mudah dijajah melalui kaedah neokolonialisme (Penjajahan Minda)

Bercakap dengan Dunia Luar:
UMNO bukan bisu dan juga bukannya "harimau yang tidak bertaring". Adab sopan apabila bercakap amat disanjung tetapi timbal balas interaksi dengan dunia luar adalah seimbang dengan adab sopan pihak berkenaan. Sains dan teknologi harus dikuasai agar media canggih untuk kita berkomunikasi dapat menjelaskan kepada pihak berkenaan tentang apa pendirian para ahlinya dan paling mustahak sekali ialah persoalan tentang kesan timbal balas jika sebarang provokasi cuba ditimbulkan oleh pihak berkenaan.
 
Mungkin ada banyak aspek lain yang perlu diambil kira walau bagaimana pun cukup setakat ini dahulu.
Wallahualam.

sysalq

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages