Pesanan Penaja

Monday 12 October 2009

KINI UMNO DAN BN KEMBALI MENDAPAT PENGHORMATAN!



BN, khususnya UMNO telah kembali berjaya meraih penghormatan. Jika telahan Tun Dr Mahathir 'benar' maka fenomena hebat ini tidak akan berlaku. Jumlah undi sebanyak 5,435 berbanding 2333 (Pilihanraya 2008) membuktikan bahawa BN telah kembali diberi penghormatan mengatasi populariti calon itu sendiri. Ini bermakna bahawa kehebatan BN khususnya UMNO telah mula mengatasi faktor calon.


Persoalan kontroversial sebelum ini ialah faktor calon mangatasi populariti parti. Beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini membuatkan sesetengah orang menyangka bahawa seolah-olah BN hanya bergantung kepada kekuatan calon semata-mata. Menurut penulis, kemenangan dalam pilihanraya melibatkan beberapa faktor utama pertamanya ialah kehebatan parti itu sendiri, keduanya faktor populariti calon dan faktor kawasan yang dipertandingkan sebagai yang ketiga.



Faktor kehebatan parti bergantung kepada sejarah dan senario yang berkaitan dengan nama bersih parti berkenaan manakala pengaruh dan populari calon amat membantu untuk memecut kegemilangan. Calon popular yang telah membuktikan kesetiaannya seperti Tan Sri Mohd Isa adalah suatu contoh signifikan yang perlu diambil kira. Jika Tan Sri mempunyai sejarah derhaka kepada parti maka kemungkinan penulis tidak melihat faktor calon bakal menjadi perkara penting lagi. Gagasan 1Malaysia oleh PM kita membuktikan bahawa kehendak rakyat tempatan harus diambil kira ditambah pula dengan kelantangan hujah Tan Sri Muhyiddin selaku orang yang menjadi peneraju di dalam pilihanraya kecil ini. Faktor perisytiharan Tan Sri Muhyiddin berkaitan dengan Pengkhianat Bangsa diikuti dengan limpahan media akternatif yang berkaitan dengannya kelihatan membuka jalan kepada rakyat untuk mengenalpasti siapa sebenarnya para pembangkang itu. 



Tugas memperhebat nama baik parti terletak kepada para pemimpin UMNO dan BN. Elakkan dari bercakaran dengan diri sendiri kerana kekalutan itu boleh dieksploitasi oleh para pembangkang. Fenomena yang menunjukkan bahawa kekuatan UMNO sebagai komponen dalam BN terbukti kerana kemenangan ini muncul pada ketika MCA dan MIC menghadapi jalan buntu dalam pemilihan pucuk pimpinan mereka. Oleh itu UMNO harus terus bekerja untuk mengekalkan kejayaan seperti ini.

PKR sebenarnya tidak sekuat mana. Mereka telah kehilangan undi dalam kawasan kuat mereka di dalam beberapa siri pilihanraya. Di DUN Bagan Pinang iaitu kawasan dibawah pengaruh BN khususnya UMNO PKR hanya meraih 2,578 sahaja yang menunjukkan bahawa pembangkang tidak berjaya menunjukkan sebarang bekas tangan mereka di sini sebaliknya UMNO telah menunjukkan bahawa parti itu memang sebenarnya hebat! 

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages