Pesanan Penaja

Wednesday 27 August 2008

SIAPA PEMIMPIN SEBENAR?

Salam,

Seorang pemimpin harus "memimpin" dan bukannya "mengikut" atau pun terpaksa "dipimpin" pula. Bayangkan seorang OKU penglihatan yang hendak merentas jalan. Seseorang yang celik penglihatan boleh menjadi pemimpinnya (dengan memimpin tangannya) untuk menyeberang. Sebagai analoginya bagaimana jika anda menang dalam pilihanraya dan oleh kemenangan itu anda menjadi pengikut 'para pengundi anda' maka anda bukanlah pemimpin sebenarnya.

Jika anda percaya kepada kolektif perspektif dan beramal dengannya dan selepas mendengar respons dari pihak berkenaan anda terus "terikut-ikut" dengan idea mereka maka anda sebenarnya hanya layak menjadi pengikut. Mungkin anda memperhias idea berkenaan dari segi teknikal dalam persembahan.

Dewasa kini, kelihatan bahawa Orang Melayu berada dalam sebesar-besar dilema. Keliru dalam menghayati konsep "siapa itu seorang pemimpin". Mereka tidak melihat kepada ketulenan karisme seseorang sebelum orang berkenaan diangkat untuk menjadi pemimpin mereka. Persoalan seperti sejarah peribadi seseorang yang dipilih langsung tidak diambil peduli.
Mereka mengetepikan semua perkara termasuk hal-hal kontroversi yang sepatutnya menjadi parameter untuk mereka berkira-kira di dalam urusan pemilihan. Soal-soal ketulenan idea, kekuatan minda kejituan dan kekukuhan prinsip telah dicampak jauh. Mungkin di kalangan para pengundi ini terdapat golongan peminat konsert yang seronok berdendang dengan lagu yang dinyanyikan dan dengan sertamerta menekan butang undian memilihnya melalui SMS. Maka akan wujudlah 'pemimpin' popular.

Pemimpin bukan orang yang hanyut dengan arus perdana bagi mencetuskan 'keselesaan'. Pemimpin mungkin boleh saja bergerak bertentangan dengan arus perdana tetapi dunia mengetahui bahawa idea yang dibawa adalah idea besar yang akan mengubah senario masyarakat. Pemimpin berkenaan reda untuk tidak menjadi popular. Setelah itu mesti ada sejarahnya yang menunjukkan bahawa sentuhan tangannyalah yang berjaya mengubah sesuatu.

No comments:

Post a Comment

Anda digalakkan bertukar-tukar pandangan mengenai subjek dalam perbincangan. Sila kemukakan pandangan anda dengan bahasa yang santun.

Important Messages